Politik

PM-8: Bersih 2.0 gesa sidang Parlimen khas muktamad kedudukan Muhyiddin

GABUGAN Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) menggesa satu sidang khas Parlimen bagi memuktamadkan persoalan sama ada Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin yang baharu mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri kelapan mempunyai sokongan majoriti di Dewan Rakyat.

Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0 dalam satu kenyataan berkata, adalah sangat penting krisis politik diselesaikan secepat mungkin.

“Bagi rakyat, sidang khas Parlimen akan mendedahkan dengan jelas bagaimana pengundian Ahli Parlimen(MP) dan sama ada ianya masih selari dengan harapan mereka semasa mereka mengundi di PRU14.

“Pengundilah yang meletakkan mereka di Dewan Rakyat dan mereka mempunyai hak untuk melihat sendiri di mana MP mereka akan berpihak.

“Bersih 2.0 menggesa rakyat untuk berhubung dengan MP mereka bagi mengetahui siapa yang akan mereka pilih dalam undi percaya di Parlimen,” kata kenyataan tersebut.

Muhyiddin yang merupakan Pengerusi Bersatu mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri kelapan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah semalam.

Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia sebagai Perdana Menteri itu berlangsung di Balai Singgahsana Kecil, Istana Negara .

Al-Sultan Abdullah memberi perkenan pelantikan itu selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Tun Dr Mahathir Mohamad telah dilantik sebagai Perdana Menteri interim setelah meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri ketujuh pada 24 Februari lalu.

Al-Sultan Abdullah telah memilih Munyiddin sebagai Perdana Menteri ke-8 selepas menemuduga 222 Ahli Parlimen secara langsung mengenai calon perdana menteri.

Al-Sultan Abdullah turut memberi peluang kedua kepada ketua parti politik untuk memberikan bilangan ahli parlimen yang menyokong calon perdana menteri masing-masing.

Sementara itu Bersih 2.0 berkata, sekiranya sidang khas parlimen tidak dipanggil, maka undi percaya perlu diusul sesegera mungkin apabila sidang seterusnya berlangsung pada 9 Mac 2020.

“Sekiranya Muhyiddin kalah dalam undi percaya, beliau harus meletak jawatan dan YDPA mempunyai prerogatif untuk melantik orang lain yang mempunyai majoriti bagi membentuk kerajaan atau membubarkan Parlimen untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum.

“Bersih 2.0 mengulangi pendirian kami menentang sebarang bentuk kerajaan pintu belakang dalam PRU14 tetapi sehingga undi percaya dibuat, ketidaktentuan ini akan berterusan dan memanjangkan krisis tersebut,” kata kenyataan tersebut.-SM

(Visited 134 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button