Politik

PKR ingatkan DAP jangan lupa daratan

KENYATAAN Setiausaha Pemuda DAP Eric Teh Hoong Keat yang mendesak  Datuk Seri Anwar Ibharim agar memohon maaf disifatkan sebagai keterlaluan dan mahu membuli Presiden Parti Keadilan Rakyat itu.

Ketua Angkatan Muda PKR Selangor Najwan Halimi menggesa Pemuda DAP dan Eric agar tidak cepat lupa daratan dengan membuat kenyataan yang bukan-bukan.

Najwan menegaskan, setiap usaha yang dilakukan Anwar perlu mendapat sokongan dan kepercayaan penuh semua sayap dan pimpinan parti Pakatan Harapan. (PH).

Tambahan pula, menurut Najwan, Majlis Presiden PH sendiri telah memberikan kepercayaan penuh kepada Anwar.

Najwan berkata, adalah tidak adil kepada Anwar apabila semua beban perlu ditanggungnya tatkala tangan dan kaki diikat dari bergerak kerana tidak mempunyai apa-apa jawatan Kabinet dalam tempoh 22 bulan pentadbiran PH.

“Sikap begitu tidak lebih sebagai langkah membuli Datuk Seri Anwar dan PKR; sedangkan selama lebih 20 tahun, Datuk Seri Anwar telah mendedikasikan perjuangannya untuk memperkukuh gabungan parti-parti pembangkang.

“Justeru, saya menyeru agar sayap Pemuda DAP dan setiausaha-nya agar tidak cepat lupa daratan dengan membuat kenyataan yang bukan-bukan sebelum merujuk pimpinan tertinggi partinya sendiri,” kata Najwan.

Menurutnya, kecelaruan komunikasi perlu dielakkan sama ada di dalam atau di luar parlimen.

“Adalah terlalu mudah dan tidak bertanggungjawab manakala disiplin diabaikan dan komunikasi bercelaru tetapi akibat buruknya sekali lagi terpaksa digalas oleh Anwar khasnya dan PKR amnya.

“Ayuh kita kembali fokus membantu pimpinan untuk mengembalikan mandat rakyat dan memgambil-alih semula Putrajaya,” tegas Najwan.

Semalam Eric menggesa Anwar yang juga Ketua Pembangkang untuk memohon maaf secara terbuka kepada rakyat dan rakan sekutu dalam Pakatan Harapan.

Ini selepas Anwar memberi arahan saat-saat akhir untuk tidak meneruskan undi belah bahagi pada undian Belanjawan 2021 peringkat dasar kelmarin.

Eric berkata DAP perlu pertimbang untuk memutuskan “berpisah” dengan PKR dan menyusun semula barisan pembangkang sekiranya Anwar, yang juga presiden parti itu, enggan meminta maaf.

“Anwar telah mengakui bahawa beliau memberi arahan supaya DAP dan PKR agar tidak menyokong usul undi belah bahagi Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat.

“Jadi, beliau perlu bertanggungjawab dengan sepenuhnya atas kesilapan beliau dan meminta maaf terhadap penyokong Pakatan Harapan (PH).

“Sekiranya Anwar masih menegaskan bahawa penilaiannya adalah betul dan tepat, maka pemimpin pusat DAP harus berpisah dengan PKR, tidak lagi bersekutu dengan PKR, biarlah PH dibubarkan dan menjalinkan hubungan kerjasama yang paling minimum dengan parti-parti pembangkang yang lain,” katanya dalam kenyataan media.-SM

 

(Visited 352 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button