Nasional

PKPP : Raja Muda Perlis, Raja Puan Muda Perlis berangkat lancarkan bilangan jemaah maksimum

RAJA Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajjah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan berangkat menyempurnakan pelancaran bilangan jemaah maksimum masjid-masjid seluruh negeri Perlis bermula waktu solat Subuh pada pagi 12 Jun 2020.

Baginda berdua berangkat tiba di Masjid Negeri Arau pada jam 5.40 pagi diiringi anakanda kedua, Puteri Sharifah Farah Adriana Jamalullail sebelum menunaikan solat fardu Subuh secara berjemaah diimamkan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) Hj Mohd Nazim Mohd Noor.

Keberangkatan tiba baginda disambut Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs), Dr. Hazman Hassan dan Imam Besar Negeri Perlis Ustaz Sirajuddin Abdul Satar.

Selesai solat, baginda berkenan berangkat ke Perpustakaan Masjid untuk mendengar ‘Kuliah Tujuh Minit (KulTum)’ yang disampaikan oleh Mufti Negeri Perlis, Datuk Arif Perkasa Prof. Madya Dr. Mohd Asri Zainul Abidin. Siaran ‘KulTum’ berkenaan turut dipancarkan secara dalam talian melalui Laman Rasmi JAIPs dan Jabatan Mufti Negeri Perlis.

Untuk rekod, Perlis adalah antara negeri terawal yang membuka bilangan jemaah semua solat 5 waktu dan solat Jumaat kepada masyarakat dengan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) penjarakan sosial sebanyak 2 meter.

Rata-rata rakyat Perlis amat bersyukur dan menjunjung kasih kepada Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail yang telah memperkenankan pembukaan bilangan jemaah maksimum kepada masyarakat.

Walaupun, masjid tidak dapat diimarahkan seperti biasa, namun titah perutusan Raja Muda Perlis selaku Yang DiPertua MAIPs yang menghebahkan perkenan Tuanku Raja Perlis berkaitan beberapa peraturan ibadat termasuk pengimarahan masjid terkini pada 10 Jun lepas disambut baik dan dipatuhi oleh rakyat jelata. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button