fbpx
Ekonomi

Perbelanjaan kerajaan perlu walaupun defisit fiskal dijangka meningkat – ahli ekonomi

PERBELANJAAN kerajaan untuk tahun ini dijangka menyebabkan defisit fiskal meningkat hampir sekali ganda daripada yang dicatatkan tahun lepas, namun ia dianggap perlu kerana petunjuk ekonomi semasa menjurus kepada kemungkinan berlakunya kemelesetan menjelang akhir tahun, kata ahli ekonomi.

Pensyarah Kanan dan Pengurus Pembangunan Perniagaan Putra Business School, Prof Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata beberapa petunjuk seperti kadar pengangguran dan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bukan sahaja memberikan angka yang tidak memberangsangkan malah mungkin lebih buruk, sekali gus memerlukan campur tangan segera dari kerajaan.

“Pengenalan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) menjadi bukti komitmen penuh kerajaan untuk menangani kelembapan ekonomi ini dengan mengurangkan kesan negatif terhadap rakyat dan perniagaan.

“Kerajaan komited membelanjakan berbilion-bilion ringgit menerusi pakej PRIHATIN dan PENJANA. Langkah seterusnya adalah mendapatkan sumber pendanaan melalui pinjaman, yang akan meningkatkan defisit fiskal.

“Itulah realitinya, kerana ada pilihan yang terhad untuk pendanaan terutama dalam keadaan pandemik COVID-19,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.


Mengenai kelebihan berhutang melalui pinjaman domestik, Ahmed Razman berkata ia membolehkan kerajaan terlindung daripada turun naik kadar pertukaran mata wang asing.

Contohnya, terbitan bon Samurai oleh kerajaan Malaysia bernilai 200 bilion yen (RM7.4 bilion) pada kadar kupon 0.63 peratus setahun awal tahun lepas, katanya.

“Walaupun kadar faedanya rendah, kita akhirnya akan membayar lebih banyak setiap tahun jika yen meningkat secara ketara berbanding ringgit dalam beberapa tahun akan datang, namun, risiko itu tidak timbul jika pinjaman dalam negara,” katanya.

Mengenai sasaran kerajaan untuk menurunkan defisit fiskal kepada kurang daripada 4.0 peratus daripada KDNK dalam tempoh tiga tahun akan datang, beliau berkata ia boleh dicapai memandangkan Malaysia telah merekodkan defisit fiskal kurang daripada 4.0 peratus sejak enam tahun lepas.

“Ketika defisit fiskal mencecah 6.7 peratus pada 2009, kita berjaya menurunkannya kepada kurang daripada 4.0 peratus pada 2013.

“Saya yakin dengan unjuran defisit fiskal 6.0 peratus tahun ini, kita dapat menurunkannya kepada kurang daripada 4.0 peratus menjelang 2023, dengan syarat krisis ekonomi besar yang mempengaruhi rantau Asia atau dunia tidak berlaku bagi beberapa tahun akan datang,” katanya.

Ahmed Razman berkata beberapa bulan lepas, Tabung Kewangan Antarabangsa mengatakan Malaysia mempunyai kapasiti untuk meminjam sehingga 70 peratus daripada KDNK.

“Beberapa negara ASEAN lain juga mencatatkan peratusan tinggi seperti Singapura (126 peratus), Vietnam (57.5 peratus) dan Laos (53.34 peratus). Jika kita melihat negara-negara Asia, Jepun mempunyai peratusan tertinggi iaitu 238 peratus,” katanya. – SM

(Visited 2 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button