Nasional

PKPP : Program Atas Talian ‘Perlis Mengaji’ diteruskan

Program ‘Perlis Mengaji’ akan diteruskan ekoran pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sebagai kelonggaran kepada perintah kawalan pergerakan terdahulu setelah tiga bulan peraturan ketat telah dilaksanakan.

Keputusan berkenaan diambil bagi memberikan peluang kepada masyarakat negeri Perlis di pelbagai peringkat usia dan latarbelakang untuk terus mendapatkan ilmu dan pengisian ilmiah serta menyediakan proses pengajaran dan pembelajaran (PnP) kepada para pelajar sekolah.

Demikian dipersembah maklumkan oleh Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs), Dr Hazman Hassan kepada Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dalam sesi taklimat khas sempena keberangkatan baginda bagi meninjau sendiri kemajuan program yang berpusat di Dewan Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, Aras Bawah, Kompleks Islam Perlis di Kangar.

Hadir sama mengiringi Tuanku Raja Muda ialah Mufti Perlis Datuk Arif Perkasa Dr Mohd Asri Zainul Abidin, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Hj Mohd Nazim Mohd Noor dan Imam Besar Negeri Perlis, Ustaz Ahmad Sirajuddin Abdul Satar.

Untuk rekod, ‘Perlis Mengaji’ merupakan siaran strim terus (live streaming) melalui facebook yang dianjurkan oleh MAIPs dengan seliaan JAIPs. Inisiatif ini telah dimulakan semenjak PKP Tahap 1 diadakan pada 18 Mac yang lalu. Ia bersiaran bermula jam 7 pagi sehingga tamat jam 10 malam. ‘Perlis Mengaji’ juga telah bersiaran selama 83 hari dan tiada cuti kecuali tiga hari semasa Hari Raya Aidilfitri.

Menurut Dr Hazman, Inisiatif ini telah dilaksanakan meliputi 4 tahap PKP, PKPB dan Insya Allah diteruskan semasa PKPP.

Antara pencapaian ‘Perlis Mengaji’ setakat ini adalah:

🔸6 kali Khatam Al-Quran secara atas talian sepanjang tempoh PKP melibatkan 180 jam siaran, bermula pada 18 Mac 2020 sehingga kini.

🔸Siaran ‘Tuisyen Online’ selama 4 jam sehari dengan sokongan Kerajaan Negeri Perlis dan diselia oleh Jabatan Pendidikan Negeri Perlis meliputi 268 jam siaran, bermula pada 1 April 2020 sehingga kini. Tuisyen atas talian merupakan prakarsa untuk membantu pelajar di negeri ini menjalankan pembelajaran kendiri di rumah khususnya ketika sekolah masih ditutup. Pengajaran program online ini merangkumi Peperiksaan Awam seperti SPM, STPM dan STAM, serta penguasaan ilmu untuk pelajar Sekolah Rendah, Sekolah Menengah Rendah dan Kurikulum Bersepadu Dini (KBD).

🔸Kuliah online Sekolah Agama Petang Perlis (SAPPs) iaitu 2 jam seminggu turut dilaksanakan. Sehingga kini sebanyak 24 jam kuliah SAPPs telah disiarkan bermula dari 19 Mac 2020 dalam tempoh 12 minggu.

Tambah beliau lagi, turut dijalankan ialah:

🔸Kuliah IQRA’ atas talian yang bersiaran selama 45 minit sehari, bermula dari Isnin sehingga Jumaat setiap minggu. Sehingga kini lebih dari 19 jam kuliah IQRA’ telah disiarkan secara langsung bermula dari 18 April 2020.

🔸Belajar Tajwid Interaktif iaitu program selama 1 jam sehari di mana pemanggil boleh menghubungi talian yang disediakan untuk menyemak prestasi bacaan Al-Quran masing-masing bersama-sama Qari jemputan. Sehingga kini sejumlah 50 jam belajar Tajwid Interaktif telah disiarkan bermula dari 15 April 2020.

🔸Majlis Ilmu yang pelbagai meliputi kuliah seperti Kuliah Subuh, Kuliah Dhuha, Kuliah Zohor, Kuliah Asar, Kuliah Maghrib, Kuliah Isyak dan Kuliah Khas. Di samping itu, Perlis Mengaji turut menyiarkan bual bicara bersama pelbagai agensi kerajaan dan badan berkanun, rancangan berita iaitu ‘Serambi Perlis Mengaji’, agenda cergas, talian interaktif fatwa, Bersama MAIPs, rancangan “Ijlal Al-Malik: 20 Tahun Permahsyuran Tuanku Raja Perlis”, siaran langsung Qiyam Ramadhan (Solat Terawih dan Witir) sepanjang bulan Ramadhan, siaran langsung takbir Aidilfitri dan siaran langsung Solat Aidilfitri 2020.

Di akhir kunjungan Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga merangkap Tuanku Yang DiPertua MAIPs menitahkan ucapan penghargaan kepada Pengarah dan kakitangan JAIPs, krew produksi ‘Suara Sunnah Channel’, para penaja serta semua jabatan, agensi dan individu yang terlibat dalam menjayakan inisiatif murni ini dengan penuh komited yang sesungguhnya amat memberi manfaat dan faedah kepada rakyat negeri Perlis tercinta sepanjang tempoh PKP ini. – SM

(Visited 272 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button