PKPD di Plaza Hentian Kajang, Medan 88 & Taman Mesra ditamatkan
PERINTAH Kawalan Pergerakan Diperketatkan di Plaza Hentian Kajang dan Medan 88, Sepang, Selangor akan ditamatkan pada esok dan lusa.
Menteri Kanan Kluster Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sehingga semalam sebanyak 5752 ujian saringan telah dilakukan.
“Daripada jumlah tersebut 462 kes Covid-19 direkodkan dan setakat ini, semua sampel saringan telah diambil dan tiada yang sedang menunggu keputusan.
“Di atas nasihat dan penilaian risiko, PKPD di kawasan tersebut akan ditamatkan esok sebagaimana yang telah dijadualkan,” katanya dalam sidang akhbar harian hari ini.
Menurutnya, PKPD di Medan 88, Salak Tinggi, Sepang pula akan ditamatkan pada 25 November depan.
Jelasnya, KKM telah melakukan 616 ujian saringan dan situasi Covid-19 di kawasan tersebut juga menunjukkan penurunan dan terkawal.
“Selain itu PKPD di Taman Mesra, Sandakan juga akan ditamatkan selepas kawasan tersebut mencatatkan jangkitan Covid-19 yang terkawal,” ujarnya.
Tambahnya, sebanyak 1171 ujian saringan dilakukan dan hanya 43 kes aktif dicatatkan dalam tempoh 14 hari. -SM