Nasional

Arahan PKPD di Penjara Seremban, dua lagi PKPD dilanjutkan

SUSULAN peningkatan kes Covid-19, kerajaan mengarahkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Penjara Seremban dan kuarters penjara bermula esok hingga 7 Disember depan.

Menteri Kanan Kluster Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pelaksanaan PKPD meliputi keseluruhan kawasan Penjara Seremban, termasuk blok penjara, bangunan pentadbiran serta kuarters pegawai dan kakitangan yang membabitkan 2,080 orang.

“Kementerian Kesihatan (KKM) sudah melaksanakan 246 ujian saringan bersasar, dengan 25 kes positif COVID-19 direkodkan di penjara itu.

“Berdasarkan penilaian risiko dan atas nasihat KKM, kita bersetuju untuk melaksanakan PKPD di kawasan tersebut,” katanya dalam sidang akhbar harian.

Menurutnya, PKPD di Putra Point Nilai, Negeri sembilan pula yang sepatutnya tamat pada esok akan dilanjutkan sehingga 30 November depan


Jelasnya, tindakan itu dibuat bagi menunggu keputusan sampel saringan Covid-19 kedua yang dijalankan.

“Sebanyak 436 ujian saringan dilaksanakan dengan 314 kes positif COVID-19 direkodkan di kawasan tersebut setakat ini.

“Bagaimanapun KKM telah menjalankan saringan kedua pada hari ini dan perlu menunggu semua keputusan sampel saringan kedua diperoleh,” ujarnya.

Jelasnya lagi, PKPD di Kampung Sabak Baru, Sabah yang sepatutnya tamat hari ini juga akan dilanjutkan sehingga 15 November depan.

Katanya, sebanyak 1,914 ujian saringan telah dilakukan dan 200 kes positif Covid-19 direkodkan.

Tambahnya, lanjutan PKPD itu adalah bagi membolehkan saringan secara berterusan dapat dilakukan KKM. -SM

(Visited 428 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button