Nasional

PKP: Solat Jumaat bilangan maksimum di Perlis berjalan lancar

Pelaksanaan solat jumaat di negeri Perlis pada hari ini berjalan lancar dan dilaksanakan mengikut SOP yang telah ditetapkan.

Walaupun dilaksanakan dengan bilangan maksimum jemaah mengikut kapasiti dan saiz masjid, pelaksanaan kewajipan tersebut berjaya dijalankan dengan lancar dan tiada insiden serta pelanggaran SOP dilaporkan.

Imam Besar Negeri Perlis, Hj. Ahmad Sirajuddin Abdul Satar berkata, rata-rata pihak jemaah berpuas hati dengan kaedah dan penetapan yang telah dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) melalui Titah Perutusan Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Tuanku Yang DiPertua MAIPs pada 20 Januari lalu.

“Saya lihat, masyarakat negeri Perlis sudah terbiasa dengan disiplin dan norma baharu sepanjang pembukaan masjid secara maksimum sebelum ini, dan ini amat memudahkan pengurusan masjid dalam menguruskan kehadiran jemaah yang hadir menunaikan kewajipan mendirikan Solat Jumaat,” jelas Ahmad Sirajuddin.

Tuanku Syed Faizuddin Putra, melalui Titah Perutusan Rasmi MAIPs, telah memperkenankan kelonggaran pelaksanaan solat jumaat dengan kehadiran maksimum mengikut saiz masjid di seluruh negeri Perlis dengan syarat pelaksanaan jarak fizikal dua meter, memakai pelitup separuh muka, mengambil wudhuk dari rumah dan tiada kontak fizikal seperti bersalaman dibenarkan.

Selain itu, kehadiran tidak dibenarkan kepada warga emas yang berusia 60 tahun dan ke atas begitu juga kanak-kanak di bawah usia 15 tahun, selain tidak dibenarkan kepada golongan berisiko seperti mereka yang bergejala dan yang mempunyai penyakit kronik.

Menyentuh mengenai pelaksanaan kuliah agama ketika PKP, Perlis melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) melaksanakan pelbagai pengisian agama melalui dalam talian khasnya melalui program ‘Perlis Mengaji’ yang disiarkan terus menerus melalui aplikasi facebook Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs), Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan Suara Sunnah Channel (SSC).

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button