Nasional

Covid: 18 meninggal dunia, 12 kluster baharu

KES Covid-19 tidak menunjukkan sebarang tanda bahawa ia akan reda dalam tempoh terdekat walau lebih seminggu Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan.

Hari ini Kementerian Kesihatan Malaysia melaporkan sebanyak 18 kes kematian (semalam 12 kematian).

Selangor mencatatkan bilangan kematian tertinggi iaitu 9 kes, diikuti Sabah (3), Kuala Lumpur (2), Sarawak (2), Pulau Pinang (1) dan Johor (1).

Mangsa yang terdiri daripada 7 wanita dan 11 lelaki itu berusia antara 32 tahun hingga 93 tahun. Kes kematian pada hari ini melibatkan 17 kes warganegara dan 1 kes bukan warganegara.

Jumlah keseluruhan bilangan kematian ketika ini berjumlah 660 kes dengan 241 kes kematian berlaku dari 1 Januari hingga hari ini.

Ketika ini bilangan kes yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi adalah 251 kes dan 102 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Jumlah tersebut berkurangan berbanding semalam iaitu 260 kes memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 103 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Sementara itu bilangan kes baharu yang dicatatkan hari ini sebanyak 3,631 kes bertambah 461 berbanding semalam 3,170 kes.

Selangor melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 782 kes (semalam 534).

Ini diikuti oleh Johor – 466 kes (semalam 423) kes dan Sabah – 453 kes (semalam 401).

Manakala bilangan kes sembuh hari ini 2,554 kes (semalam 2,490).

Kes aktif yang sedang mendapatkan rawatan meningkat sebanyak 1,059 kes kepada 42,814 kes berbanding semalam 41,755 kes.

Sementara itu Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, 12 lagi kluster baharu direkodkan.

Sebanyak 5 kluster baharu dilaporkan di Johor, Pahang (2) masing-masing satu di Selangor, Labuan, Sabah, Melaka, Pahang serta satu kluster yang berlaku dikesan di Putrajaya dan Selangor.

Tujuh daripada kluster tersebut melibatkan tempat kerja, kluster komuniti (2), kluster kumpulan berisiko (2) dan satu kluster tahanan.

Ketika ini sejumlah 335 kluster masih aktif dengan 86 kluster mencatatkan pertambahan kes baharu hari ini.

Empat kluster dilaporkan tampat iaitu Kluster Jalan Haruan, Kluster Tapak Bina Rimbun, Kluster Tapak Bina Pasifik, dan Kluster Tapak Bina Cendana.-SM

 

 

(Visited 90 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button