Nasional

PKP masih dilaksana, tindakan diambil kepada yang ingkar

PENGUATKUASAAN Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sedia ada masih tetap dilaksanakan, walaupun Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) diperkenalkan Isnin ini.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan, Akta 342 berkuatkuasa sepanjang tempoh PKPB yang akan bermula 4 Mei ini, dan tindakan akan diambil kepada mereka yang ingkar.

“PKPB yang diumumkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam adalah berdasarkan dua kriteria utama, iaitu kepentingan kesihatan dan keperluan merangsang ekonomi negara.

“… tetapi tetap tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ketat. Perlu diingatkan bahawa PKP masih terus dilaksanakan, bukan bermakna PKPB tidak ada akta lagi yang menuntut rakyat untuk patuh kepada setiap arahan,” katanya pada sidang media harian di sini hari ini.

Jelas Ismail Sabri, kerajaan cakna akan kehidupan rakyat di akar umbi dan memberi peluang kepada mereka terutama pemilik warung dan gerai untuk menjana pendapatan.

Bagaimanapun, beliau menegaskan kerajaan tidak akan berkompromi dan mengambil tindakan menutup mana-mana premis yang didapati melanggar SOP ditetapkan.

“Kita beri peluang kepada mereka untuk cari pendapatan walaupun sedikit. Sekurang-kurangnya boleh berniaga di depan rumah. Ini tidak bermakna PKP ditarik balik, ia hanya dilonggarkan.

“(Namun) Kita tidak membiarkan mereka berniaga lagi kerana melanggar SOP dikeluarkan. Tidak ada kompromi dan tolak ansur. Jika mereka langgar, kita (arahkan) tutup,” tegasnya.

Mengakui perang COVID-19 masih belum selesai, Ismail Sabri menasihati orang ramai agar terus berdisiplin dalam menjaga kebersihan diri ketika PKPB.

Katanya, normal baharu perlu menjadi budaya serta tanggungjawab individu, bukan hanya terletak di tangan kerajaan semata-mata.

“Inilah normal baharu, walaupun PKP ditamatkan, penjarakan sosial dan mencuci tangan dengan sabun merupakan disiplin untuk menjaga kesihatan dan keselamatan kita,” katanya. – BERNAMA

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button