Sukan

Piala Thomas: Wajib menang atas England, Belanda terlebih dahulu

SKUAD badminton negara memikul misi wajib menang ke atas pasukan England dan Belanda terlebih dahulu jika berhasrat untuk melangkah lebih jauh pada pusingan akhir  Piala Thomas, Oktober ini.

Ketua Jurulatih Perseorangan Lelaki Kebangsaan, Hendrawan berkata langkah seterusnya ialah menewaskan musuh tradisi, Indonesia dalam aksi peringkat kumpulan, sekali gus memastikan Malaysia bertemu lawan lebih mudah di peringkat suku akhir.

“Atas kertas memang ramai kata ‘ok’ bagi kita. Tapi apa yang penting kita perlu menang bertemu England dan Belanda, selepas itu baru fikirkan langkah seterusnya.

“Jika menang dengan Indonesia, itu lebih bagus kerana laluan di suku akhir akan lebih mudah berbanding berada di kedudukan kedua kumpulan. Kita perlu memberi yang terbaik kerana Piala Thomas satu kejohanan sangat besar,” katanya kepada pemberita di Akademi Badminton Malaysia (ABM) Bukit Kiara, di sini hari ini.

Malaysia diundi dalam Kumpulan A bersama-sama juara 13 kali, Indonesia, Belanda dan England pada Piala Thomas yang bakal berlangsung di Aarhus, Denmark dari 3 hingga 11 Okt depan.

Untuk rekod, pada edisi dua tahun lepas di Bangkok, skuad negara gagal melepasi sasaran untuk mara ke separuh akhir selepas tewas 1-3 kepada Indonesia pada aksi suku akhir.

Mengulas lanjut, Hendrawan berkata senarai akhir pemain masih belum diputuskan, namun beliau sudah mempunyai bayangan barisan pemain yang akan membawa cabaran negara pada kejohanan itu.

Beliau berkata kejohanan dalaman yang dianjurkan oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM) melibatkan perlawanan Divisyen Dua bermula Rabu hingga Sabtu ini, dan disusuli saingan Divisyen Satu dari 11 hingga 16 Ogos, menjadi penilaian bagi pemilihan pemain.

“Sudah pasti penilaian berdasarkan prestasi dan juga ranking dunia. Namun paling penting ialah pemain dipilih mempunyai semangat juang yang tinggi.

Kejohanan individu dan berpasukan berbeza. Berpasukan perlukan pemain mempunyai semangat lawan tinggi dan ketahanan mental yang kuat,” katanya.

Hendrawan pada masa sama, percaya pemain perseorangan lelaki utama negara, Lee Zii Jia mampu menggalas cabaran dan tanggungjawab sebagai perseorangan pertama pada Piala Thomas itu, nanti.

“Zii Jia sudah ada banyak pengalaman bermain dalam acara berpasukan. Dia pernah beraksi pada Piala Thomas dua tahun lalu, Piala Sudirman, Sukan Asia dan Sukan SEA. Tapi tugas sebagai perseorangan pertama di mana-mana kejohanan pasti sangat sukar kerana akan jumpa lawan yang terbaik dari negara-negara lain,” katanya. – BERNAMA

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button