fbpx
Sukan

PHKL mohon jangan risikokan kesihatan pemain

PERSATUAN Hoki Kuala Lumpur (PHKL) berharap Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) berfikir mengenai kesihatan pemain dengan mempertimbangkan semula cadangan untuk meneruskan penganjuran saingan Piala Tun Abdul Razak 2020 pada 21 hingga 29 Ogos ini.

Presiden PHKL, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin berkata, ia kerana sekatan masih dikenakan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), yang berakhir 31 Ogos ini.

“Jangan risikokan kesihatan pemain dan mengambil sambil lewa perkara ini dengan menganggap tempoh PKPP ini sebagai ‘tempoh percutian’ sedangkan peperangan kita dalam mengatasi pandemik COVID-19 belum berakhir.

“Apa-apa pun boleh berlaku, mengambil kira insiden terbaharu tukang gunting rambut di Setapak yang hanya disahkan positif COVID-19 selepas memulakan operasi perniagaan,” katanya seperti dilaporkan Bernama.

Beliau berkata, KHM juga perlu melihat dari aspek persiapan setiap pasukan negeri, yang mana kekangan masa menyebabkan timbulnya masalah lain di kemudian hari.


“Kita sepatutnya memberikan sokongan penuh kepada apa saja garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) seperti ditetapkan kerajaan,” katanya.

Terdahulu, KHM berhasrat untuk meneruskan penganjuran Piala Tun Abdul Razak yang dijadual berlangsung pada 21 hingga 29 Ogos dan saingan Liga Hoki Remaja Kebangsaan pada hujung September ini, walaupun negara masih berdepan penularan wabak COVID-19.  – SM

Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button