BeritaPolitik

PH Adalah Pakatan Yang Gagal, Jangan Jadikan Negara Bahan Eksperimen – Tok Mat

SEREMBAN, 23 Nov – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata parti itu bersama-sama dengan rakan-rakan pembangkang yang lain harus menjadi pelopor usaha besar-besaran rakyat Malaysia untuk menolak Pakatan Harapan (PH) yang gagal.

Ini kerana menurut beliau, setelah 18 bulan menjadi kerajaan, PH telah menggagalkan negara ini dan rakyatnya secara sistematik kerana merela telah gagal dalam menunaikan janji, gagal menguruskan negara dan gagal melaksanakan pembaharuan.

“Malah dalam kalangan mereka sendiri pun masih lagi ada yang berbalah dan bercakaran. Sebuah pakatan yang tidak stabil bakal memecahbelahkan rakyat dan meletakkan Malaysia dalam situasi yang merbahaya serta tidak menentu.

“Mahukah kita melihat Malaysia yang kita bina ini musnah dan porak-poranda akibat daripada ketidakcekapan mereka mentadbir. Sungguh malu jika dilihat kembali mereka sering meminta masa untuk memperbaiki negara seakan-akan Malaysia merupakan suatu eksperimen dalam tabung uji kaji yang boleh dibuang jika gagal dan tidak sempurna,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Konvensyen UMNO Negeri Sembilan yang dirasmikan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, di sini, hari ini.

Antara pemimpin yang hadir Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Ketua Penerangan, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah dan pimpinan parti yang lain.

Tegas Mohamad, Malaysia bukanlah satu eksperimen sains dan ianya memerlukan pasukan pemerintah yang stabil, kuat dan cekap, namun yang ada ini tidaklah ‘semegah’ dan tidak seupaya mana.

“Tidak ada masa untuk dibazirkan walau sedikit pun detik yang terbuang, setiap anak Malaysia akan menanggung ruginya. Secara jujurnya kita tidak mempunyai banyak masa. Dalam keterbatasan sumber dan ketidaktentuan dunia, UMNO harus lincah dan tangkas berlari mengejar cita-citanya dalam ketidakpastian dan kesamaran hakikat kehidupan.

“Saya percaya Allah s.w.t tetap bersama kita. Jangan kita bersedih, jangan kita leka dan kita alpa. Mari kita bulatkan tekad, mari kita insafi bahawa setiap tindakan kita, Allah akan tetap membantu kita semua, insya-Allah,” ujarnya.- UMNO Online

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button