Politik

Pertahan maruah demi rakyat- Asyraf Wajdi

Ucapan dasar Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki

SIDANG PERWAKILAN PEMUDA SEKALIAN,

Saya mulai ucapan ini dengan pernyataan rasa syukur yang setulus dan setingginya atas izin dan perkenan Yang Maha Esa dan Maha Kuasa untuk kita melangsungkan Perhimpunan Pergerakan Pemuda UMNO 2019. Mewakili saf kepimpinan Pergerakan Pemuda  UMNO Malaysia, saya ingin mengalu-alukan kehadiran para tetamu
undangan, perwakilan, pemerhati, sahabat dan kerabat Pemuda UMNO seluruh negara ke Perhimpunan Pergerakan Pemuda UMNO Kali Ke-70.

Saya amat terharu dan begitu berbangga melihat raut-raut wajah semangat sahabat-sahabat Pemuda UMNO di semua peringkat yang hadir pada hari ini. Kalau masih ingat lagi, dalam ucapan sulung saya di Perhimpunan yang lalu, saya titipkan kisah sebuah BAHTERA yang rosak teruk, malah hampir karam dek lambungan badai besar yang melanda.

Namun, pada kali ini saya akan persembahkan kepada semua REKAYASA BAHTERA yang sama sudah mula mengangkat sauhnya. BAHTERA yang sama mula melebarkan layarnya. BAHTERA yang sama juga telah mula mengharungi samudera dan bersedia menongkah badai yang kian mengganas. Kerana apa?

Kerana BAHTERA ini beruntung punya pejuang-pejuang muda yang setia seperti kalian! Kalianlah pejuang yang bangkit di tengahtengah badai menghempas BAHTERA PARTI! Kalian tegak tatkala ada yang lari, terjun BAHTERA selamatkan diri!

Namun, kalian teguh berdiri, tidak gundah walau dikhianati! Kalianlah Pejuang Muda Parti yang Hakiki!
ُMoga-moga kita semua menjadi generasi pemuda yang digambarkan Allah dalam Surah Al-Kahfi iaitu Pemuda Yang
Beriman dan Mendapat Petunjuk Ilahi: “Mereka adalah pemuda-pemuda yang beriman kepada Tuhan
mereka, dan Kami tambah pula, bagi mereka petunjuk” (AlKahfi:13)

GERAKAN BANGKIT KEMBALI  Sahabat-sahabat seperjuangan sekalian, PEMUDA!……..BANGKIT KEMBALI!

Laungan keramat ini bukanlah sekadar semangat yang lompong tanpa makna. Laungan ini juga bukan sekadar retorika yang menjadi halwa telinga. Laungan ini punya roh berintikan agenda Islah yang telah sama-sama kita semarakkan lebih setahun, merentasi segenap pelusok negara. Agenda Islah yang memberikan penekanan agar
Pemuda kembali kepada akar perjuangan parti yang asal iaitu rela berkorban jiwa dan raga demi mempertahankan dan memelihara Agama, Bangsa dan Negara ‘BACK TO BASIC’.

Bertitik-tolak daripada kesedaran inilah, dari Perlis sampailah ke Sabah, dari Teluk Durian, Baling sampailah jauh ke pedalaman Sabah, Pulau Kaniogan, Beluran, Pemuda menyusur akar, menelusuri ceruk desa, wilayah hinggalah ke kota, menjejaki akar umbi, menganjurkan pelbagai program berteraskan agenda pentarbiyahan bagi membina
kader-kader parti dengan memantapkan ilmu, memperkukuh rohani, mencanai keyakinan dan membina jati diri Pemuda UMNO.

Jelajah Pemuda UMNO Malaysia meliputi 126 daripada 191 Bahagian. Percaya atau tidak, dalam tempoh SETAHUN kita berjaya melaksanakan ini semua!

MEREALISASI AGENDA PENJENAMAAN SEMULA PEMUDA

Sahabat-sahabat Seperjuangan Sekalian,

Melihat perjalanan pemuda sepanjang setahun. Sejujurnya, saya amat kagum dengan apa yang telah dicapai oleh kalian semua. Bukan mudah, saya akui perjalanan ini bukan mudah. Ada yang mengorbankan tenaga dan masa, ada yang menghabiskan wang sendiri, ada yang terputus sumber pendapatannya, ada yang kerap meninggalkan anak-isteri demi sebuah perjuangan yang menagih pengorbanan begitu tinggi.

Tetapi dengarlah sahabat-sahabat pemuda sekalian, Bulatkan hatimu! Kuatkan imanmu! Teguhkanlah pendirianmu! Yakinlah akan:
ِ
“Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, sedangkan kamu belumpun diuji, sebagaimana yang telah melanda orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah diuji dengan kesempitan (hartabenda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya:

Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?» Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah).” (Al-Baqarah: 214)

Alhamdulillah, berkat usaha semua, UMNO yang dahulunya dilanda krisis kepercayaan, kini tampak kembali memikat. Produk yang dahulunya terpalit, kini semakin cantik. Anak muda yang dahulunya benci, kini tampak berubah. Kalau tidak, masakan Skuad Sabil, wahana beruniform baru anak muda di dalam parti, terus mendapat
sokongan. Masakan, sekadar sebuah pasukan sukarelawan tanpa imbuhan, terus mendapat dokongan. Ribuan yang mendaftar, ratusan lagi menanti giliran untuk menjalani latihan. Tanpa habuan, tanpa paksaan, cuma sekelumit semangat untuk turut menyumbang dalam arus khidmat bakti yang Pemuda tawarkan.

MEREALISASI NILAI INKLUSIF

Sahabat-sahabat Seperjuangan Sekalian,

Kita juga telah membuktikan bahawa Pemuda UMNO tidak sesekali bersikap eksklusif. Tidak pernah terdetik jauh sekali meninggalkan rakan-rakan lama kita yang terus setia mempertahankan Barisan Nasional. Memetik kata-kata sahabat saya Nicole Wong Ketua Pemuda MCA: “MA HUA YI KUO ZHENG……HUAN NAN YI KONG…..TONG
ZHOU KONG JI….ZAI CHUANG HUEI HUANG” (Dalam apa jua keadaan susah atau senang, kita tetap sedia
berhimpit bersama dalam satu Bahtera, tidak meninggalkan satu sama lain, bersatu padu menghadapi cabaran dan memastikan kita kembali bangkit gemilang)

Mewakili Saf Kepimpinan Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia saya ingin mengucapkan terima kasih setulusnya buat rakan-rakan Pemuda MCA, MIC dan Friends of BN Makkal Sakti, IPF, KIMMA

Tidak dilupakan juga buat sahabat-sahabat baru kita daripada Dewan Pemuda Pas. Kita telah membuktikan “Bulat Air Kerana Pembuluh, Bulat Kata Kerana Muafakat”. Bersama, kita telah berjaya menyedarkan rakyat akan bahaya ICERD dengan mencetuskan gerakan terawal himpunan anak muda dari Masjid Jamek ke  Sogo pada 4 November 2018. Seterusnya, kita bergandingan mengadakan ‘RoadShow’ ke seluruh negara, sehinggalah terpahat sejarah manis pada 8 Disember 2018. Berkat Muafakat ini telah berjaya menghimpunkan hampir 1 juta umat di tengah-tengah Bandaraya Kuala Lumpur. Terima Kasih Sahabat-sahabat Pemuda PAS, bersedia lupakan sengketa lama, untuk kita bergerak seiring demi Ummah dan Agama tercinta.

MEREALISASI AGENDA JUARA RAKYAT

Semua ini menjadi saksi bahawa Pemuda harus terus istiqomah berperanan sebagai “Jurubicara Ummah”, “Penyambung Lidah Rakyat”, menzahirkan denyut nadi mereka, sama ada bersuara  melalui media-media sosial, hatta turun ke lapangan dengan membuat laporan polis dan menganjurkan siri-siri demonstrasi atas
segala kepincangan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan kecurangan mereka melaksanakan janji-janji palsu manifesto yang dianggap bukan kitab suci.

Rupa-rupanya pimpinan PH ni kebanyakannya berhati tisu. Dulu mereka mengkritik, hari ini tidak bersedia dikritik. Bila ditegur cepat melatah. Bila ditentang mula nak menekan. Yang pernah berguling atas jalanan pun pantas menggertak nak menyaman. Namun, bagi Pemuda sedikitpun kita tidak akan gentar! “Makin Ditekan, Makin
Kita Bangkit Melawan!”

Sesungguhnya janji Allah itu benar. Pengorbanan yang dilakukan kini semakin menampakkan hasilnya. Alhamdulillah berkat kerja kuat, jiwa besar, hikmah dan berstrategi semua pihak termasuklah jentera
Pemuda, Tuhan telah menghadiahkan kepada kita kemenangan bergaya di 4 (empat) Pilihanraya Kecil bermula di Cameron Highlands, Semenyih, Rantau dan yang paling manis dengan majoriti besar lebih 15 ribu di Tanjung Piai.

Berbunga lebat pohon rambutan,
Hinggap tempua berjuntai kaki;
Bila dapat memandang bulan,
Jangan lupa rumput di bumi.

Benar kita telah menang! Namun bacalah isyarat yang tersirat. Rakyat tidak mahu kita alpa! Rakyat tidak mahu kita sombong! Rakyat pastinya tidak mahu kita lupa daratan hingga sesama sendiri kembali bercakaran dan berantakan. Rakyat tentu sekali mahu kita muhasabah dan terus memperbaiki parti.

Lebih membimbangkan, semakin bersinar cahaya gemerlapan di hujung terowong, semakin ramai yang dulunya menyepi, seakan bernafas kembali. Makin ramai yang dulunya mengkhinati sehingga terjun meninggalkan parti, hari ini diam-diam sudah kembali, bahkan ada yang sudah pasang kaki, mengatur strategi untuk merebut pelbagai posisi dalam parti.

19. Orang seperti ini PEMUDA ingin ingatkan! Jangan sesekali menjadi “Serigala Berbulu Kambing”, sudahlah dulunya umpama “Mayang Menolak Seludang”, meninggalkan parti yang banyak jasa kepada mereka setelah parti hilang kuasa! Tiba-tiba hari ini, sudah mengintai posisi dan mula membina kem-kem dalam parti. Ingatlah! “Pelanduk Mungkin Selalu Melupakan Jerat, Namun Jerat Tidak Sesekali Lupa Pada Pelanduk!”

HARAPAN YANG GAGAL

Sahabat-sahabat Seperjuangan Sekalian,

Bekas Perdana Menteri British ketika perang dunia ke-2 pernah mengungkapkan kata-kata berikut:
“There is no worse mistake in public leadership than to hold out false hope soon to be swept away.” (Tidak ada kesalahan yang lebih dahsyat dalam sesebuah kepimpinan melainkan memberi harapan palsu kepada rakyat yang
kemudiannya lenyap begitu saja).

Kata-kata ini amat dalam maknanya dan cukup tepat untuk menggambarkan Kerajaan Pakatan Harapan hari ini. 18 bulan telah berlalu. Namun harapan jutaan rakyat Malaysia untuk melihat sebuah Kerajaan yang lebih baik sejak Mei 2018 lalu, bagaikan pusara di lebuhraya. Malah lebih teruk, rakyat kini semakin sengsara bak “Malam berselimut Embun, Siang Bertudung Awan” –Janji lama dahulupun belum tertunai, janji baharu pula ditabur namun beberapa kali terkantoi menipu.

Masalah PH bukan sekadar dihantui isu perlunasan janji sehingga menjadi siulan rakyat sebagai PAKATAN HANCING. Kegagalan mereka menerajui negara tidak kira dari segi ekonomi, hubungan luar negara, pendidikan, pentadbiran kerajaan sehinggalah harapanharapan palsu yang telah ditabur sama ada dari aspek hendak
mereformasi instititusi-institusi penting negara, bahkan kegagalan menguruskan kemajmukan negara berbilang kaum benar-benar menyentap kehidupan rakyat hari ini.

ASPEK EKONOMI

Realitinya bila PH berkuasa, sehingga hari ini tol tak hapus, minyak tak turun! Subsidi makin tiada, kos sara hidup terus meningkat walaupun GST sudah tiada, harga barang keperluan tidak turunturun sebagaimana yang dijanjikan. Yang terus menjunam jatuh adalah harga sawit dan getah hingga menyebabkan lebih 760 ribu pekebun kecil dan peneroka hidup bak “Kais Pagi Makan Pagi, Kais Petang Makan Petang”!

Kerajaan pula hanya tahu menjarah wang Petronas sehingga RM82 bilion menyebabkan keuntungan Petronas jatuh 48% pada suku ketiga 2019, lantaran kegagalan PH mendatangkan alternatif berkesan mendapatkan hasil yang hilang akibat pemansuhan GST umpama “Mengusir Asap, Meninggalkan Api”.

Dulu setiap projek mega BN (TRX, Bandar Malaysia, ECRL) dituduhnya nak jual negara. Bila dapat kuasa, aset-aset strategik negara yang lain pula dijualnya. Boleh pula umumkan tanpa sedikitpun rasa bersalah, aset-aset ini paling bernilai buat negara.

Dulu bila Kerajaan BN perkenalkan subsidi bersasar dengan menukarnya ke dalam bentuk tunai atas nama BR1M, dihinanya rakyat menerima dedak. Hari ini tanpa sedikitpun rasa malu menjenamakan semula BR1M kepada BaSaH, namun dengan nilai yang jauh lebih rendah. Lebih memeningkan, definisi BUJANG yang layak terima
bantuan di zaman PH hanya terpakai kepada mereka berumur 40 tahun ke atas atau lebih tepat dipanggil “Bujang Terlajak!”

Yang pasti ekonomi negara makin parah. Hutang Negara makin bertambah2, Bursa Saham Malaysia jatuh teruk , nilai Ringgit jatuh merudum, indeks keadaan perniagaan makin susut, pertumbuhan ekonomi terus menguncup,

Semua indikator-indikator ekonomi ini hanya memberikan satu isyarat! Kerajaan PH GAGAL menguruskan ekonomi negara dengan baik. Kenapa berlaku sebegini? Yang jelas, Rakyat dapat  saksikan hanyalah, Kerajaan PH terus sibuk berpolitik, menyalah dan bergelumang dengan perebutan kuasa daripada PM Ke-7 kepada
PM Tepi!

Apa maknanya semua ini kepada RAKYAT? Apa sebenarnya kesan peringkat makin sengsara! Mana dia Pakar formula PH yang menjanjikan kehidupan rakyat lebih selesa? Menteri Kewangan yang tipu sijil akauntan profesionalnya sehingga tersilap titik perpuluhan dalam mengira wang rakyat, hanya sibuk menyanyikan lagu 1MDB
sebagai punca segala kegawatan.

Walau cuba disembunyi dengan pelbagai tipu helah. Hakikatnya, perut rakyat semakin kosong, poket rakyat semakin lompong, “Bagai Abu Di Atas Tunggul, Menanti Angin Jatuh Berderai”.

ASPEK PENDIDIKAN

Lebih menggusarkan jiwa apabila bab pendidikan pun dah mula berbau hancing. Kononnya nak bagi pendidikan percuma, dapat kuasa, yuran-yuran universiti mula naik mendadak! Kononnya nak bagi sarapan percuma dengan kos 1.67 bilion bermula 1 Januari, rupa-rupanya dalam belanjawan 2020 pun langsung tidak disentuh
kecuali meneruskan dasar BN lama Rancangan Makanan Tambahan untuk golongan miskin.

Itu baru bab sekolah, bagaimana pula tawaran PH kepada 500 ribu anak-anak muda yang setiap tahun keluar menantikan peluang pekerjaan? Rupa-rupanya mereka juga tidak terlepas daripada tempias hancing. Demi undi, PH berjanji kepada anak muda bakal sediakan 1 juta peluang pekerjaan. Yang jelas semakin ramai yang dibuang kerja. Kononnya, nak bagi insentif gaji RM500 gulagula untuk para graduan yang terima pekerjaan lepas setahun menganggur, rupa-rupanya untuk dimasukkan dalam KWSP. Alamat tunggu umur 50 tahun baru boleh merasai!

ASPEK POLITIK DAN PENTADBIRAN

Jika PH menggunakan alasan hutang RM1 trilion dan kekangan kewangan yang menjadi penyebab kegagalan mereka mengotakan janji Manifesto PRU14 lalu, maka kita patut tanya pula mereka, bagaimana pula janji-janji Manifesto yang tidak memerlukan wang untuk melaksanakannya?

Bagaimana status reformasi institusi? Bedegar-degar nak reformasi Parlimen! Namun, bila sudah jadi kerajaan, asyik ponteng, bila terkantoi, kononnya nak tunjuk hero, integriti masih dijaga, rupanya penghawa dingin menjadi mangsa!

Apa sudah jadi dengan janji tender terbuka untuk semua perolehan negara? Jadi Kerajaan, tender terus dapat pada kerabat parti. Terbongkar pula, habis semua lembaga-lembaga pengarah GLC dan Agensi dilantik di kalangan kroni! Rupa-rupanya janji tiada lantikan politik dalam manifesto hanyalah satu lagi omongan kosong!

Mana dia Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) MARA, FELDA dan Tabung Haji? Bab-bab Tabung Haji ni memang dekat dengan hati saya! Dengar pantun yang dicipta khas ini:
Kekanda Mujahid ke Pekan Kemasin
Membelikan Adinda Izzah ikan Masin
Ingatkan Minyak turun seringgit lima puluh sen
Rupanya Hibah TH turun satu perpuluhan dua lima persen

ASPEK AGAMA

Lebih menyedihkan dalam senario Malaysia Baharu kini, tahap hubungan antara kaum dan agama berada pada kedudukan yang paling meruncing! Sebab apa? Puncanya kerana pimpinan PH yang didominasi DAP cuba merobek akar-akar yang mendasari kekuatan negara ini. Deklarasi Setapak 1967 yang menjadi doktrin perjuangan DAP, untuk menghapuskan status Bumiputera dan  bukan Bumiputera dengan menjanjikan KESAMARATAAN makin
lama makin menjadi-jadi.

Kenyataan-kenyataan rasis dan chauvinis pimpinan DAP dan PH semacam dipekakkan telinga, dibutakan mata oleh pihak pemerintah, lantas mencetuskan fenomena keberanian luar biasa di kalangan segelintir, untuk meremehkan institusi Raja, menghina Agama bahkan memperkotak-katikkan maruah bangsa seperti
tulisan jawi dan bahasa Melayu!

ASPEK PERLEMBAGAAN DAN PERUNDANGAN

Saya nak tanya kepada saudara-saudara? Siapa yang jelajah ke luar negara mendakwa rakyat Hindu di
negara ini ditindas dan dizalimi?

· Siapa yang tuduh orang Melayu sebagai kaum pendatang?
· Siapa yang hina tulisan jawi dan dikaitkan dengan pornografi?
· Siapa yang hina Angkatan Tentera dengan mendakwa mereka hanya tahu makan dan tidur sahaja?
· Siapa yang dakwa penyatuan orang Melayu akan hasilkan ekstrimis pembunuh seperti di Masjid Christchurh New
Zealand?
· Siapa yang kata Penyatuan Ummah UMNO-PAS akan wujudkan Kerajaan Taliban?
· Siapa yang memainkan sentimen kebencian kaum dengan mendakwa UMNO-PAS akan mengambil hak orang
Melayu?
· Siapa hari ini yang memuliakan pengganas dan menjulang mereka sebagai wira untuk dibawa balik abunya?
. Mereka inilah sebenarnya petualang yang rasis bertanggungjawab mencetuskan sentimen kaum dan mengapi-apikan kebencian di kalangan rakyat. Yang pasti tragedi menyayat hati kita semua, pembunuhan Arwah Adib masih belum terbela? Pemuda UMNO buat kesekian kalinya dengan disaksikan para perwakilan hari ini, menuntut dengan tegas agar PEGUAM NEGARA segera ambil tindakan bukan sahaja kepada PEMBUNUH ADIB tetapi PENCETUS KEPADA TRAGEDI INI DI KALANGAN PIMPINAN DAP DAN PH, DEMI KEADILAN UNTUK ADIB! Jika masih gagal maka pemuda mendesak agar PEGUAM NEGARA….. LETAK JAWATAN!

ASPEK DASAR BAHARU

Dasar-dasar baharu PH juga banyak yang merapu, bagaikan terpisah daripada jiwa, tercabut daripada denyut nadi rakyat yang sengsara masa kini. Disuruhnya rakyat minum sesudu sawit sehari, kononnya boleh naikkan harga sawit disamping kekalkan awet muda! Disaran pula penoreh getah menoreh waktu musim hujan kononnya boleh tingkat produktiviti! Disuruh tanam sayur mengimbangi harga sawit yang jatuh, namun segala geran dan bantuan dihapuskan!

Walau ditegur, kadang dicuit, langsung tak terobek keangkuhan diri seperti “Mencurah Air Ke Daun Keladi”. Malah, bagaikan kena tulah, apa sahaja yang terhambur daripada mulut Menteri-menteri mahupun exco-exco negeri serba tak kena dan seringkali menjadi bahan lawak jenaka rakyat.

Daripada idea kereta terbang yang rupanya bak sebuah troli dipasangkan kipas angin kononnya boleh menyelesaikan masalah lalu-lintas, sehinggalah kepada isu ‘beliau’ boleh berenang dan penembak terhebat di dewan undangan negeri Melaka. Benarlah kata Dr. Maszlee Malik dalam salah satu posting FB beliau sebelum
jadi Menteri: “Keadaan Politik negara sekarang yang menggadaikan negara, dan ini terjadi apabila anda meletakkan badut, pelawak dan orang gila dalam pentadbiran negara dan politik”

Mungkin inilah yang disebutkan Nabi SAW dalam satu hadis riwayat Abu Darda’ yang banyak disepakati ulamak akan maksudnya: ” َWhat Goes Around Comes Around atau Bagaimana kita lakukan dan perkatakan kepada orang lain begitulah kita akan diperlakukan dan diperkatakan”

Semua ini membuktikan bahawa Kerajaan PH hari ini hakikatnya sebuah kerajaan yang GAGAL! Konsep Malaysia BAHARU yang diperjuangkan PH juga GAGAL.

KEMBALIKAN MALAYSIA KEPADA ACUAN ASAL

Sahabat-sahabat Seperjuangan Sekalian,
Harapan Berjanji Semuanya Palsu
Apa Sahaja Dibuat Jadi Lucu
Jangan Diharap Malaysia Baru
Kita Kembalikan Acuan Dulu

Malaysia Baharu Versi PH yang berpijak kepada falsafah kesamarataan hakikatnya amat merbahaya lantaran menjanjikan sesuatu yang nampak menawan tetapi hakikatnya “Pepat Di Luar Rencong Di Dalam”.

Ingatlah pesanan orang tua lama-lama yang menasihati kita agar “Jangan Ditentang Matahari Condong, Takut Tak Terturut, Jalan Tak Berintis”. Jangan mudah terperdaya dengan harapan palsu sehingga tergamak kita melepaskan apa yang dinikmati ditangan selama ini. Pujangga India juga ada menyebut hal yang sama: “NALLADE YENINUM KUREI SOLLI TUUKI YERIYAADEA, KUREI TIRKE MUDIYUM” (“Jangan dibuang sesuatu yang baik hanya kerana sedikit kelemahan, sedangkan kekurangan itu boleh sahaja diisi dan ditampung”).

Benar, selama 61 tahun Malaysia bukanlah sebuah negara sempurna!  Banyak kelemahan, wujud ketirisan, berlaku kepincangan di sana sini. “Mana Ada Buluh Yang Tidak Berbuku, Mana Ada Bumi Yang Tidak Pernah Ditimpa Hujan!” Namun selama 61 tahun sebelum ini juga, tidak sedikit kejayaan yang ditempa negara.

Dunia Islam melihat Malaysia sebagai Negara Islam contoh, model negara yang pesat membangun tetapi tidak pernah mengenyampingkan Islam sebagai Agama Negara berorientasikan Wasatiyyah. Negara-negara membangun sentiasa menjadikan Malaysia sebagai penanda aras lantaran dilihat selaku pemain ekonomi paling kompetitif dalam kalangan negara membangun di Asia. Malah dunia pernah menobatkan Malaysia sebagai Harimau Asia (Asian Tiger) kerana pencapaian luar biasanya dalam pertumbuhan ekonomi.

KDNK negara berkembang pesat setiap tahun, kadar inflasi terkawal, kemahiran dan produktiviti meningkat, keyakinan pelabur tinggi, asas makro ekonomi dan kunci kira-kira negara kukuh, kadar kemiskinan yang hampir sifar, malah negara berjaya melebarkan kelas pertengahan di kalangan rakyat.

Resipi utama kejayaan-kejayaan ini sudah tentu terkait dengan soal kestabilan politik. Harus diingat kestabilan politik negara hanya mampu dicapai berasaskan konsep perkongsian kuasa kaum-kaum utama dalam wadah yang berakarkan keindukan Melayu-IslamBumiputera.

Keindukkan ini jugalah yang membawa Persekutuan Tanah Melayu dan Malaysia mengharungi pelbagai cabaran dan rintangan. Dari hanya politik kerjasama yang membenihkan kemenangan pada pilihanraya 1952 dan 1955, UMNO, MCA dan MIC membentuk Perikatan Pimpinan Tunku Abdul Rahman mengorak langkah demi
langkah mengenepikan perselisihan dan perbezaan demi untuk mencapai sebuah kemerdekaan.

Keindukkan Melayu-Bumiputera dan Islam ini dicitrakan sekali lagi oleh Tun Abdul Razak yang menggagaskan gabungan Barisan Nasional yang turut dianggotai PAS dengan Dasar Ekonomi Baharu secara afirmatif yang diikat dengan Rukun Negara. Semuanya adalah kerana keprihatinan UMNO untuk membina dan membangunkan
Malaysia untuk semua tanpa mencairkan nilai dan jati keindukkan Melayu-Bumiputera-Islamnya.

Menjadi asas yang wajib difahami, bahawa kejayaan hubungan politik antara kaum dalam konteks Perikatan ataupun Barisan Nasional adalah kerana kesediaan UMNO menerima kaum-kaum lain sebagai warganegara yang sama tarafnya dengan orang-orang Melayu. Manakala kaum-kaum lain pula bersedia memperakui KEINDUKKAN Melayu-Bumiputera-Islam seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan menerima KEINDUKKAN MelayuBumiputera-Islam sebagai pemimpin kepada sebuah gabungan politik.

Tiada lagi istilah PENDATANG! Kerana Malaysia ini sudah diperakui milik semua. Malaysia milik orang Melayu, Malaysia juga milik orang Cina, India, Kadazan, Dusun, Murut, Dayak, Iban, Bidayuh malah ratusan etnik Sabah dan Sarawak. Semuanya ada TANGGUNGJAWAB, semuanya ada HAK, sebagaimana yang dimaktubkan dalam Perlembagaan Persekutuan. Konsep KEINDUKKAN ini tidak menjadikan UMNO sebagai tuan kepada parti lain. Tetapi KEINDUKKAN ini meletakkan UMNO sebagai pemimpin yang menentukan identiti sebenar kepada wajah Malaysia yang asal.

Rumusan mudahnya, Malaysia boleh terus berjaya, kekal stabil, kekal harmoni bukan sebagaimana yang dimomokkan oleh Kerajaan PH yang kononnya semua nak disamaratakan. Sebaliknya, ia berpaksikan
kepada sebuah kestabilan politik negara yang dicapai dengan kebijaksaan kepemimpinan mengurus-tadbir kerencaman dan kemajmukan rakyat yang ditunjangi oleh sifat keindukkan MelayuBumiputera-Islam. INILAH SEBENARNYA RESIPI KEJAYAAN MALAYSIA YANG ASAL!

Oleh yang demikian, Pemuda UMNO ingin menegaskan bahawa Malaysia perlu kembali kepada ACUAN dan MODELnya yang asal. Namun kembali kepada ACUAN yang asal tidak bermakna kita tunduk kepada kebejatan rasuah dan penyelewengan, tidak juga  mendiamkan soal ketirisan, tetapi harus berpegang teguh kepada
nilai integriti, akauntabiliti, amanah, kesederhanaan dan prinsip tadbir urus yang baik. Tuntasnya, menjadi tanggungjawab kita bersama sebagai warga pemilik tanah pusaka ini untuk memperbaiki dan menambah baik Malaysia, kerana tiada yang sempurna kecuali kitalah yang bertanggungjawab menyempurnakan.

Sahabat-sahabat Seperjuangan Sekalian,

Persoalannya, bagaimanakah kita hendak mengembalikan kegemilangan Malaysia? Apakah pendekatan yang boleh
dilakukan untuk memastikan Malaysia dengan acuan yang asal mampu direalisasikan? Atau mampukah kita mengambil semangat kepimpinan terdahulu yang berjaya mengadun resepi kejayaan yang saya nyatakan sebenar tadi?

MUAFAKAT NASIONAL….! Inilah jawapan yang ingin kita tawarkan kembali kepada rakyat. Bermula dengan gerakan Penyatuan Ummah yang akhirnya berjaya menyatukan dua parti terbesar mewakili kelompok majoriti Melayu-Islam, UMNO dan PAS sehingga termeterainya Piagam Muafakat Nasional pada 14
September 2019.

Jika difahami, bukannya suatu yang baharu. Muafakat Nasional merupakan kesinambungan konsep perkongsian kuasa dengan ACUAN MALAYSIA ASAL mengekalkan resipi Malaysia yang asal sebagai yang dijelaskan
semua ini.

Sebab itulah Kerjasama UMNO dan PAS tidak pernah bercitacita mendirikan kerajaan yang hanya didominasi orang Melayu dan Islam semata-mata. Muafakat Nasional juga tidak wajar mengenyampingkan kaum-kaum lain yang telah menjadi sebahagian daripada warga tanahair tercinta.

Atau kata mudahnya, Muafakat Nasional bukannya seperti pakatan rapuh PH yang punya 4 parti. Tetapi tidur sahaja sebantal namun hakikatnya mimpi berbeza-beza.

It is US therefore, that must show, and prove to the people, that WE, UMNO, PAS, MCA and MIC are united as ONE, despite and regardless the deterioration and disintegration of racial harmony brought about by PH. We must be BELIEVED and SEEN, as the trusted option/alternative in providing the much-needed peace, harmony and prosperity.

Perjalanan Muafakat Nasional baru bermula. Pastinya akan menempuh pelbagai onak dan duri. Yang penting, Muafakat Nasional mestilah melangkaui soal percaturan kuasa dan pengagihan kerusi semata-mata. Muafakat Nasional juga bukan ditanggapi sekadar menjatuhkan PH untuk kembali berkuasa.

Sebaliknya Muafakat Nasional harus menyediakan tawaran baru kepada rakyat terutamanya menyentuh soal perut dan untung-nasib mereka dalam meneruskan kelangsungan hidup secara harmoni di tanahair tercinta.

Pemuda ingin ingatkan kepada semua pimpinan di atas, jangan sesekali membuat onar setelah berpakat! Jangan sesekali mempersia-siakan harapan umat! Jangan memperjudikan nasib rakyat! Muafakat Nasional ini bukan milik eksklusif mana-mana pimpinan mahupun parti. Tetapi ia adalah manifestasi suara hati akar umbi yang mahu Umat berpadu. Ia adalah cerminan denyut nadi rakyat yang mahu Islam meneraju. Ia juga adalah isyarat rakyat mahukan Malaysia dengan rakyatnya yang pelbagai bangsa dan agama kembali bersatu.

Justeru, PEMUDA menggesa agar kepimpinan tertinggi parti dapat segera menginstitusikan MUAFAKAT NASIONAL bukan sahaja melibatkan UMNO-PAS tetapi juga rakan-rakan komponen BN (MCA dan MIC) dan Friends of BN. Sudah tiba masanya untuk kita bergerak dari era Perikatan selama 21 tahun (1952-1973), kepada
era Barisan Nasional selama hampir 46 tahun (1973-sekarang), dan kini berhijrah kepada MUAFAKAT NASIONAL!
KELANGSUNGAN AGENDA KEBANGKITAN.

Sahabat-sahabat Seperjuangan Sekalian,

Tampak ketika ini arus rakyat mulai seakan menyebelahi kita. Rakyat marah dan mual dengan sikap PH yang berterusan menipu, memungkiri janji bahkan seringkali memperlekeh kebijaksanaan rakyat (insulting people’s inteligence) dengan kenyataan dangkal dan dasar berubah-ubah.

Namun harus diingat, tidak semestinya rakyat sudah bersedia menerima kita. Yang penting UMNO kena terus muhasabah, merendah diri, memperakui kesilapan lampau lantas mengoreksi diri untuk terus melakukan pembaikan dalaman parti, agar kita dapat kembali menagih kepercayaan dan menambat keyakinan rakyat
terhadap perjuangan yang suci ini.

Justeru, demi kelangsungan agenda kebangkitan Pemuda yang sama-sama kita gariskan dalam Ucapan Dasar yang lalu, molek kiranya saya lakarkan pula 5 pendirian penting sebagai pedoman dan azimat agar kita sentiasa berada pada landasan yang betul.

AZIMAT PERTAMA: FOKUS PEMERKASAAN PARTI

Pertama, Pemuda di semua peringkat mesti terus semarakkan agenda Islah dan pemerkasaan dalaman parti sebagaimana yang disemangati melalui ucapan dasar saya yang lalu.

Jangan sesekali kita leka dan alpa dek seronok dan selesa dengan  kemenangan di Cameron, Semenyih, Rantau dan Tanjung Piai hingga  kita kembali sombong dan angkuh bahkan mula bercakaran sesama sendiri. “Winning Few Battles Do Not Mean We Can Already Win A War”.

AZIMAT KEDUA: TERUS MENGAKAR KEPADA ANAK MUDA

Kedua, Pemuda mesti terus dengan gerak kerja mengakar, merimbun dan membumi kepada segenap lapisan masyarakat sama ada di kota mahupun di desa. Pemuda UMNO dengan imej yang baru tidak harus ada lagi sifat elitis yang dilihat memperagakan kemewahan diri dan hanya minum di coffee house, bersigar atau menggendeng beg berjenama semata-mata.

Sebaliknya kita akan lebih dihormati apabila lebih merendah diri, tidak sombong dan berlapang dada tatkala ditegur dan dikritik. InsyaAllah, tahun kedua ini gerakkerja kita akan digandakan dengan memfokuskan agenda utama mendekati generasi muda yang punya kerencaman pemikiran dan kepelbagaian perawakan seiring dengan
pindaan umur pengundi muda bawah 18 tahun.

AZIMAT KETIGA: JAUHI PERSENGKETAAN, UTAMAKAN PERMUAFAKATAN

Ketiga, Pemuda harus utamakan kesatuan kita sebagai satu keluarga besar yang mendokong wadah perjuangan suci ini. Kita boleh berbeza pandangan! Kita juga boleh berbeza pendekatan, apatah lagi orientasi perjuangan! Tetapi jangan sesekali kita berprasangka dan bersengketa sesama sendiri! Depan berkelakuan cantik, belakang menyimpan perasan jelik. Depan “Yes Boss, Bagus Boss, Beres Boss! Tetapi hakikatnya “Menanam Tebu Di Bibir”. Bak kata
pepatah lama, “Ada Aku Dipandang Hadap, Tiada Aku Dipandang Belakang”.

Jangan juga pentingkan diri sendiri “Bagaikan Enau Dalam Belukar Melepaskan Pucuk Masing-Masing Dan Memagar Diri Bagai Aur.”

Parti ini akan hancur jika masih membiak dan menggejala perasaan ananiyah (individualistic) yang hanya nak selamatkan diri berbanding parti.

AZIMAT KEEMPAT: PEMUDA KEKAL MANDIRI DAN WALA’ PADA PARTI

Keempat, Pemuda harus kekal bersifat mandiri (independent) – wala’ dan kesetiaan hanya pada institusi dan perjuangan parti bukan individu mahupun personaliti. Jangan sesekali kita menjadi bagaikan “Lembu Yang Dicucuk Hidungnya”, rela membiarkan diri “Ditambat Dan Diikat” kepada tuan yang membela dan mendedak kita.

Pemuda tidak boleh membiarkan parti sekali lagi punah ranah dek persengketaan sengit lantaran wujud kumpulan-kumpulan yang mula mencatur dan mencongak kedudukan dalam parti tatkala melihat mentari mula bersinar.

AZIMAT KELIMA: PERTAHAN MARUAH DEMI RAKYAT

Kelima, pemuda mesti terus menjuarai agenda rakyat dengan menjadi pembangkang berwibawa, mendengar denyut nadi dan membawa suara hati rakyat secara tegas tanpa rasa takut.

Isyarat melalui 4 PRK yang dimenangi cukup jelas, bahawa rakyat mahu kita kembali tetapi dengan wajah yang baru. Rakyat bersedia menerima kita, tetapi dengan citra perjuangan yang lebih kudus. Rakyat juga mahu kita menjadi kerajaan semula, tetapi bukan dengan cara tidak bermaruah melalui pintu belakang!

Pendirian Pemuda kekal tegas tidak berubah, JANGAN DIBERIKAN NYAWA KEPADA MEREKA YANG SEDANG LEMAS! JANGAN MENJADI PENYAMBUNG HAYAT BAGI MEREKA YANG DITOLAK RAKYAT! JANGAN SESEKALI MENCURANGI KEPERCAYAAN RAKYAT! SEKALI RAKYAT DIKHIANATI, PARTI AKAN TERTOLAK BUAT SELAMA-LAMANYA.

PENUTUP

Sahabat-sahabat Seperjuangan Sekalian,

UMNO dan Perjuangannya umpama sebuah BAHTERA yang sudah lama berlayar…. banyak tempat yang telah diterokai…. terkenal seantero dunia….. malahan banyak kejayaan telah diperolehi.

BAHTERA ini tidak lahir sekelip mata, tetapi ianya hasil……perit jerih dan airmata darah para pejuang terdahulu dan pewaris bangsa. Ada yang sangggup meninggalkan keluarga, menyerahkan harta benda….hatta ada yang sanggup berkorban jiwa.

BAHTERA ini hampir karam beberapa kali dibadai ombak dan taufan…..tapi tetap teguh dan utuh meneruskan pelayaran, berjasa kepada semua….. tidak kenal masa dan keadaan.

84. Tidak sedikit yang terjun meninggalkan BAHTERA di tengah-tengah kekalutan ombak besar dan badai menghempas, kononnya mencari BAHTERA HARAPAN, yang ternyata kini belum tentu selamat.

Namun menjadi sunnatullah dan adat dalam kehidupan, Malam, pasti berganti siang, Air surut, pasti berganti pasang, Ribut dan badai, pasti hilang. Yang kalah tak selamanya kalah, yang menang tak selamanya menang.

Walaupun kini, langit semakin cerah, sang mentari mula memancarkan sinarnya, BAHTERA perjuangan ini jangan diambil mudah…….. BAHTERA ini perlu terus diperkasakan….. BAHTERA ini perlu dilayarkan…… BAHTERA ini jangan sesekali menoleh kebelakang……jangan sesekali alpa dan terpesona…..hanya kerana mendengar berita BAHTERA HARAPAN semakin goyah dan bakal karam.

Sebagai pejuang muda, kita harus tekad berjuang dan bersedia berkorban untuk memastikan BAHTERA keramat ini terus belayar menuju ke destinasi yang gemilang. Kepada Allah jua kita terus bermunajat, berserah dan menaruh sepenuh pengharapan.

Akhirnya, buat seluruh sahabat-sahabatku pemuda pejuang kebangkitan.

Tubuh kalian, tubuh Pendekar
Jiwa kalian, jiwa Pejuang
Nafas kalian, Nafas Pahlawan
Nyawa dan Harta kita taruhkan
Hanya itu jadi sandaran
Kerna kita pilihan Tuhan
Rapatlah dirimu kepada Tuhan
Kerna Itulah rahsia kejayaan
Demi mengecap keberkatan
Walau taufan mulai pergi,
Jangan alpa dan lupa diri
Takut nanti memakan diri
Ayuh Kita semua bangkit berdiri,
Sambil bersumpah dan berjanji,
Kita Pertahankan Bahtera ini,
Kita Perkasakan Wadah ini
Jangan Biarkan ia Tumbang
Jangan Biar dikhinati Petualang
Kerna harganya mahal untuk digadaikan
Selagi nyawa dikandung badan
Selagi itu kita terus berjuang
Demi Agama,
Demi Bangsa,
Demi Negara,
Dan Demi anak, cucu, cicit kita semua.
Pemuda !
Bangkit Kembali
Pemuda !
Bangkit Kembali
Pemuda !
Bangkit kembali
Hidup Melayu!
Hidup Rakyat!
Hidup Islam!
Takbir, Takbir, Takbir.

Wabillahi taufik wal hidayah,

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button