Hiburan

Persembahan penyanyi luar negara: Jangan menyusahkan penyanyi tempatan

JANGAN disebabkan oleh nila setitik, rosak susu sebelanga dan menyusahkan golongan artis tanah air untuk mengadakan persembahan.

Sikap penggemar muzik di Malaysia seharusnya berubah dan tidak ghariah apabila artis luar negara terutamanya Barat mengadakan persembahan di negara kita.

Meminati seseorang artis atau persembahan tiada salahnya tetapi janganlah sampai taksub ataupun mengundang maksud yang menyeleweng seperti menggalakkan perkara yang tidak senonok.

Apatah lagi jika ia menyalahi agama dan dalam perkara ini, ia lebih menjurus ke arah menggalakkan LGBT.

Seharusnya Malaysia, Keluarga Malaysia tidak menyokong perkara yang cenderung kepada menggalakkan budaya songsang.

Maka itulah, apabila artis luar negara seperti Billie Eilish mengadakan konsert “Happier Than Ever, The World Tour”, sudah menjadi kecoh.

Natijahnya akan terpalit juga kepada artis golongan penyanyi tanah air yang selama ini bersusah payah untuk mengadakan persembahan.

Itupun masih belum mampu untuk ‘memujuk’ sesetengah negeri untuk membenarkan penyanyi mengadakan persembahan walaupun berpakaian sopan.

Dalam hal ini, memang tidak boleh nak menyalahkan sesiapa kerana setiap negeri dan kerajaan negeri ada garis panduan masing-masing.

Cuma simpati kepada golongan anak seni apabila ada yang melabelkan – SEMUNYA SAMA!

Menurut Ketua Pemuda PAS Ahmad Fadhli Shaari, beliau berpandangan konsert membabitkan artis antarabangsa masih boleh diadakan di tiga negeri ditadbir parti itu asalkan penghiburnya tidak membudayakan gaya hidup songsang.

Menurut Ahli Parlimen Pasir Mas itu lagi, pihaknya tidak menghalang jika sesebuah konsert itu tidak bercanggah dengan budaya tempatan.

“Jika melibatkan artis dipercayai mempromosi gaya hidup songsang, jawapannya ya,” kata Fadhli tentang sama ada pihaknya akan turut membantah jika konsert antarabangsa dianjurkan di Kedah, Kelantan dan Terengganu yang ditadbir PAS.

Pada 19 Ogos lalu, Fadhli secara terbuka membidas penganjuran bertalu-talu konsert mega yang didakwanya “kerja gila menjemput kemurkaan Allah”.

Kenyataan itu dibuat tidak sampai 24 jam selepas Billie Eilish mengadakan konsert “Happier Than Ever, The World Tour” di Stadium Nasional Bukit Jalil malam sebelumnya.

Pemimpin PAS itu berkata, Malaysia sebagai sebuah negara yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan menolak keras amalan songsang.

Beliau turut menggesa kerajaan membatalkan konsert antarabangsa kerana ia menggalakkan budaya hedonisme menular dan dilihat tidak bersesuaian serta bertentangan dengan Islam sebagai agama persekutuan.

Inilah yang akan berlaku kerana artis-artis Barat yang lain, tidak akan semudah itu masuk ke Malaysia untuk mengadakan persembahan.

Inilah juga kesannya apabila mereka yang menganjurkan persembahan artis luar negara, artis Barat, artis antarabangsa tidak bercakap terus terang tentang peraturan THE DOS AND DON’TS apabila memilih negara ini untuk mengadakan persembahan.

Penganjur persembahan sebenarnya tidak perlu takut atau bimbang untuk menyatakan dengan jelas, syarat-syarat kepada pengurusan artis luar negara yang mahu mengadakan persembahan di Malaysia.

Kita bukan menolak mereka kerana kita juga tidak mahu jadi seperti katak di bawah tempurung tetapi biarlah penganjur bersikap tegas dan tahu apa yang boleh dan apa yang tidak boleh dilakukan oleh artis luar negara.

Umpama masuk kandang kambing, mengemek la, kalau masuk kandang harimau – mati! SM

(Visited 667 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button