Ekonomi

Perodua Myvi, Axia, Bezza paling laris di Malaysia setakat ini pada 2020

PERODUA mencatat peningkatan jualan sebanyak 9.2 peratus kepada 23,203 unit pada Julai 2020 daripada angka yang dicatatkan pada Jun.

Prestasi itu sekali gus menjadikan Julai sebagai jualan bulanan terbaik setakat ini bagi 2020 dan melonjakkan jumlah jualan setakat ini bagi tahun ini kepada 97,373 unit.

Pengeluar kereta itu menjangkakan bahagian pasaran Julai dan setakat ini masing-masing sebanyak 40 peratus dan 42 peratus, disokong oleh Myvi, Axia dan Bezza yang tersenarai sebagai tiga kenderaan paling laris di Malaysia setakat ini, dengan jualan masing-masing berjumlah 29,313 unit, 28,107 unit dan 25,416 unit.

“Sejak operasi kami dimulakan semula selepas ditutup dua bulan susulan Perintah Kawalan Pergerakan, jumlah jualan kami meningkat semula dengan pantas, disokong oleh pengecualian cukai oleh kerajaan yang akan dilaksanakan sehingga akhir tahun ini.

“Sekiranya trend yang menggalakkan ini berterusan, jumlah yang memberangsangkan ini akan membolehkan kami meningkatkan ekosistem pembekal dan peniaga dalam keadaan yang memerlukan ini,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Datuk Zainal Abidin Ahmad dalam satu kenyataan.

Menurut Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii), dianggarkan sekurang-kurangnya 500,000 unit jumlah jualan keseluruhan industri (TIV) diperlukan bagi memastikan industri automotif terus bertahan.

“Ketika krisis COVID-19 ini, kami sedar kami perlu menjalankan tugas pada kapasiti sepenuhnya untuk menyokong ekonomi Malaysia dan memastikan pekerjaan dilindungi.

“Sebagai peneraju pasaran, keutamaan Perodua ialah menyediakan produk dan perkhidmatan terbaik untuk memastikan kepuasan pelanggan yang maksimum. Kami komited untuk terus menawarkan saranan nilai kepada rakyat Malaysia dari segi kemampuan, kualiti, teknologi dan ciri-ciri terkini,” katanya.

Semua model semasa Perodua mempunyai kandungan tempatan melebihi 90 peratus. – BERNAMA

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button