Nasional
Permohonan duit KWSP untuk deposit X50 atau beli iPhone 12 boleh dibakulsampahkan
Antara negara-negara yang telah meluluskan atau menggalakkan pengeluaran wang dari tabung usia tua untuk pencarum terdesak pada masa Covid termasuk Australia, Iceland, Peru, Chile Portugal, Sepanyol, United Kingdom dan Amerika Syarikat.
Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, ada yang sudah luluskan pengeluaran kali kedua.
“Kebanyakan negara-negara tersebut juga meletakkan syarat bahawa pencarum perlu mengemukakan bukti mereka hilang sumber pendapatan atau keadaan kewangan mereka sudah kritikal.
“Jika alasan diberi pencarum ialah untuk bayar deposit bagi X50 sebab kereta itu lawa atau nak beli iPhone 12, mereka akan terus bakulsampahkan permohonan,” kata Najib dalam hantaran ke Facebooknya.
Pada pendapat beliau, sebuah kerajaan yang prihatin perlu lebih fokus kepada mencari jalan untuk memulihkan dan menambah simpanan usia tua golongan terdesak selepas krisis Covid berakhir – bukan untuk menafikan hak pencarum untuk mengakses wang simpanan mereka pada masa mereka paling terdesak.
“Sebuah kerajaan mempunyai kuasa dan pengaruh besar untuk memastikan tabung-tabung rakyat menjana keuntungan serta pulangan yang lebih tinggi pada hari kelak,” katanya.
Menjawa komen orang ramai, Najib berkata, “ada yang kata bagaimana pula jika ada pencarum yang tipu untuk keluarkan simpanan mereka walaupun bukan benar-benar terdesak.”
Ini, kata beliau, sama seperti prinsip saya untuk BR1M yang dulupun pernah disalah beri kepada orang yang tidak layak.
Katanya, untuk mendapat kepastian 100 peratus adalah tidak mungkin. Ia lebih elok jika ada segelintir yang tersalah beri berbanding tersalah nafi bantuan kepada seorang yang amat memerlukan bantuan.
Sebab itu, kata Najib, syarat pengeluaran tidak perlu terlalu ketat atau rumit jika skim pengeluaran ini diluluskan kerajaan PN.