fbpx
Politik

Kepada Tun, saya ucapkan teruskan perjuangan – Maszlee

Tak pernah ada kebencian apalagi dendam dan amarah walau sekelumit terhadap Dr. Mahathir.

AHLI Parlimen Simpang Renggam Dr. Maszlee Malik tetap hormat dan kasih terhadap Tun Dr. Mahathir Mohamad walaupun selepas mengambil keputusan untuk meninggalkan parti Pejuang pimpinan Ahli Parlimen Langkawi itu.

Menurutnya, meskipun wadah dan fahaman politik sudah berbeza, namun Dr. Mahathir sentiasa menjadi sosok yang layak untuk diberi penghormatan kerana jasa besar yang dicurahkan kepada rakyat dan negara.

“Ketidaksetujuan saya dalam halatuju politik ke hadapan tidak pernah menggasir rasa hormat dan kagum saya pada sosok besar negara ini.

“Jatuh bangun negara, dari padang pasir yang tandus sehingga tersergam menara berkembar tertinggi di dunia, sosok ini ada, memerhati dan merakam cermat sejarah jatuh-bangun anak bangsa,” kata Maszlee.

Menurut beliau, maruah dan keperibadian tidak akan berkurangan sekiranya seseoranga sentiasa menghormati sesiapa sahaja yang berbeda dalam apa perkara sekalipun.


Justeru beliau akan sentiasa mendoakan Dr. Mahathir dan memohon supaya hubungan baik antara beliau dan bekas perdana menteri itu akan terus terpelihara.

Maszlee berkata, tak pernah ada kebencian apalagi dendam dan amarah walau sekelumit terhadap Dr. Mahathir.

“Kepada Tun, saya ucapkan teruskan perjuangan.

“Saya? Perjuangan baharu saya sudahpun bermula. Tumpuan hakiki saya selain Simpang Renggam tentunya memulakan gerakan perubahan pendidikan berskala besar yang memungkinkan sesiapa sahaja untuk membuat perubahan.

“Kerana saya percaya masa depan negara bergantung kepada pendidikan negara. Rosak pendidikan, rosaklah masa depan,” kata Maszlee.

Beliau juga yakin kedudukan dan kuasa bukanlah penentu kepada keberlangsungan perubahan.

Sebaliknya iltizam, tekad, percaya dan kesempatan akan menukar harapan dan impian menjadi realiti.

“Pertama kali melangkah ke dalam dunia politik dengan serba keraguan dan ketidaktentuan nasib, insan ini berpesan mengingatkan saya bahawa politik ialah kerja-kerja membangun bangsa dan negara.

“Beliau juga ada beritahu, realiti politik adalah berbeza dengan segala teori yang saya ajarkan dan tuliskan lewat kehidupan akademik dahulu,” kata Maszlee.

Maszlee turut berterima kasih kepada Dr. Mahathir kerana melantiknya sebagai Menteri Pendidikan walaupun cuma 20 bulan sebelum bekas perdana menteri itu meminta beliau memulangkan semula jawatan tersebut pada 3 Januari yang lalu.

Beliau berkata, tempoh 20 bulan cukup membuka mata dan kesedaran beliau sehingga menumbuhkan tekad yang kuat di hati bahawa perjuangan pendidikan adalah satu kefardhuan.

“Fardhu ini tidak boleh berhenti, walau siapapun saya, dan dimana pun saya berada,” katanya.

Maszlee semalam mengumumkan penarikan dirinya sebagai Ahli Jawatankuasa Penaja Penubuhan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

Beliau berkata, tindakan tersebut diambil kerana ingin menumpukan sepenuhnya usaha untuk membantu rakyat yang terkesan dengan wabak koronavirus (Covid-19) di negara ini khususnya di Simpang Renggam.-SM

(Visited 34 times, 1 visits today)

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button