Politik

Perlumbaan ‘kuda tua’ dengan ‘kuda muda’

‘KUDA tua’, bunyi macam kasar, tetapi itulah struktur kepimpinan dalam parti politik sekarang yang sememangnya banyak bergantung kepada pemimpin senior.

Ia tidak sahaja terkena kepada parti politik tertentu sebaliknya semua pemimpin yang dikategorikan sebagai senior baik Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Najib Tun Razak, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Tun. Dr. Mahathir Mohamad, Tan Sri Tengku Razaleigh Tengku Mohd. Hamzah, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Tan Sri Annuar Musa dan Lim Kit  Siang.

Sebahagian mereka sudapun melepasi usia 60 dan ada yanng lebih 70 tahun dan sudah terlalu lama berada dalam arena politik, malah lebih 30 hingga 40 tahun.

Itu baharu, sebahagian, berapa ramai lagi ahli politik yang berusia 60 tahun ke atas namun masih lagi memegang kuasa eksekutif dalam parti masing-masing termasuk menjadi Ahli Parlimen.

Oleh demikian, ramai persoal, kenapa tiada pemimpin muda yang tidak ditonjolkan untuk kehadapan dan menjadi pelapis bagi meneraju kepimpinan negara pada masa hadapan.

Bagaimanapun, terdapat pelbagai pandangan, selain budaya cantas mencantas, terdapat juga pendapat menyentuh soal pemikiran dan kematangan.

Sebagai contoh kematangan berhadapan dengan masalah, isu dan cara mengenengahkan idea dalam pembentukan dasar.

Stereotaip matang

Hal demikian dikatakan menjadi kebimbangan dan stereotaip dalam kalangan ahli politik tua kepada ahli politik muda.

“Betul, kita kena bagi peluang, tetapi kita juga kena menilai bagaimana cara mereka melihat politik, isu, masalah adakah cukup matang, itu soalnya.

“Masalahnya, kalau kita hendak mengukur kematangan antara apa yang berlaku 60 ke 70 tahun dahulu sebelum merdeka dengan perjuangan pada masa kini adalah tahap kematangannya.

“Budak sekarang, kita sudah melabel merek sebagai generasi Wechat, Twitter, yang kita nampak luahan ideanya terlalu kebudak-budakan ini yang menyebabkan ramai golongan tua dalam politik tidak yakin dengan kemampuan golongan muda.

“Kita nampak, golongan muda yang benar-benar ada potensi politik, tak ramai.”

Kata  Pensyarah Kanan Sejarah, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr. Sahul Hamid Mohamed Maiddin ketika dihubungi Suara Merdeka hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas peluang dan kemampuan pemimpin muda untuk diketengahkan dalam kepimpinan negara.

Demokratik dan liberalisme

Katanya, terdapat dua perbezaan yang ketara dapat dilihat dalam pembawakan politik antaran orang tua dan juga orang muda.

SAHUL HAMID MOHAMED MAIDDIN

“Politik ini pada saya, kalau di Malaysia, kita nampak tahap demokratik dan keliberalannya.

“Kalau mereka ini bercakap tentang idea demokrasi, kebebasan hak asasi, mereka ini adalah golongan membawa idea muda, walaupun duduk dalam parti-parti konservatif.

“Tetapi, kalau tidak ada pemimpin yang bercakap soal democratic government, good governance liberalisme (bukan meliberalkan Islam), menghormati hak asasi manusia, merekalah orang muda sebenarnya,” jelasnya.

Bagaimanapun, tambah beliau, pembawakan idea daripada orang politik muda adalah tidak sehebat pemimpin terdahulu.

Tiada luahan idea

Katanya, ahli politik muda dahulu ideanya diluahkan dalam penulisan buku yang boleh difahami semua orang membacanya dan hal demikian dikatakan tidak ada pada orang muda sekarang.

“Kemudian soal aura kepimpinan seperti pidato, seperti Anwar, Dr. Mahathir, Allahyarham Ustaz Fadizl Noor, Allahyarham Datuk Nik Aziz Nik Mat, mereka dahulu datang dengan idea. Mereka juga menulis.

“Dr. Mahathir ada hasilkan beberapa buku, Anwar pun sama, begitu juga Tengku Razaleigh.

“Tetapi sekarang kini berapa ramai yang menulis buku, berapa ramai yang meluahkan idea mereka dalam bentuk buku.

“Ada, seperti Dr. Mazlee Malik, beliau menulis. Syed Saddiq tak nampak lagi setakat ini,” katanya.

Namun, beliau juga berpandangan pegangan kepimpinan dalam parti dan kerajaan adalah untuk mengekalkan status quo mereka dan enggan memberi peluang kepada orang muda.

Turut berpandangan sama adalah, penganalisis politik Prof. Dr. Ahmad Atory Hussain yang mendakwa kekurangan peluang dalam kalangan anak muda adalah bermula daripada UMNO.

Bermula dari UMNO ketika era Dr. Mahathir

Iaitu, ketika Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri, dan berlakunya krisis politik antara beliau dengan bekas timbalannya Anwar pada 1998.

Katanya, ketika Anwar dipecat daripada UMNO dan menyertai PKR, cukup ramai ahli politik muda bersamanya turut serta keluar meninggalkan UMNO.

AHMAD ATORY HUSSAIN

“Ketika pemerintahan Dr. Mahathir,ada lihat orang muda sebagai ancaman kepadanya, sorry to say.

“Jadi, orang muda macam tak seberapa Dr. Mahathir tak berapa mesra dengan mereka.

“Kemudian ketika zaman Anwar dipecat daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri, dia dan ramai orang muda menentang Dr. Mahathir,” katanya.

Katanya lagi, sejak itu peluang untuk orang muda tidak banyak apabila terdapat pemilihan pelapis ia hanya diberikan kepada ahli keluarga.

“Orang muda kalau ada, minta maaflah ye, bila saya tengok kalau ada pun orang muda cuma anak beranak mereka sahaja.

“Sedangkan anak beranak orang lain yang lebih hebat tak dapat peluang. Yang jadi pelapis pun selama-lamanya tak diangkat.

“Kalau boleh anak murid tetap anak murid, yang guru tetap jadi guru.

“Mereka tak mahu memberi warisan itu kepada anak murid. Kalau boleh anak murid mesti lagi bodoh daripada gurunya,” sindirnya. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button