fbpx
Hiburan

Perlukah artis diberi layanan istimewa dalam situasi getir?

BILA Perdana Menteri berkata tiada yang dipinggirkan dalam pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin, ia bukan hanya satu retorik.

Cuma apa yang dibentangkan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin tempoh hari perlu dilihat dengan dengan hati dan minda terbuka. Begitu jugalah dengan situasi yang membabitkan artis.

Bagaimanapun dalam situasi getir ini artis tidak seharusnya menuntut diberi layanan istimewa kerana bukan mereka sahaja terjejas, tetapi jutaan rakyat negara ini terjebak dalam kemelut ekonomi dan penularan wabak maut COVID-19.

Artis yang sebelum ini sering berbangga dengan kekayaan dengan menayang hadiah nilainya jutaan ringgit hanya sebagai hadiah harijadi isteri, mungkin perlu berfikir cara untuk untuk menguruskan kewangan dalam situasi sulit.

Keutamaan pada masa ini adalah rakyat yang di atas meja makan, sudah terputus bekalan makanan. Mereka hidup ibarat Kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.


Bukan saja artis Malaysia, bahkan artis Indonesia juga kini menjadi bahan kecaman kerana sebelum ini sering berkongsi di media sosial baki duit yang berkoyan-koyan di dalam akaun masing-masing kini mendiamkan diri.

Apa salahnya mereka membantu artis yang kurang bernasib baik dalam situasi sebegini, atau sebagaimana para artis di Korea lakukan mereka turut menghulurkan dana kepada kerajaan.

Artis Dira Abu Zahar yang kini Ahli Majlis Tertinggi UMNO, menjelaskan bahawa ramai penggiat seni keliru kerana mungkin tiada pengkhususan ‘seni, hiburan atau muzik’ dalam pengumuman Perdana Menteri Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin yang melibatkan semua rakyat Malaysia.

Negara, katanya sedang melalui satu episod kepayahan yang amat besar apabila dilanda satu wabak penyakit yang dikenali sebagai COVID-19 yang telah mengorbankan hampir 30,000 orang di seluruh dunia dan ia menimbulkan kegusaran banyak pihak, tidak kira dari pelbagai latar belakang masyarakat apabila pelbagai sekatan dilaksanakan untuk memutuskan rangkaian jangkitan antaranya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Namun katanya, pelaksanaan PKP ini menyebabkan rakyat membataskan pergerakan mereka termasuk mencari nafkah dan bekerja.

“Saya juga dimaklumkan beberapa individu dari bidang seni mula menyuarakan nasib mereka, serta permintaan bantuan-bantuan untuk mereka kerana terjejas dengan pelaksanaan PKP. Saya pernah berada dalam bidang seni, dan saya faham tentang situasi orang seni.

“Sebenarnya, kerajaan telah pun mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin yang melibatkan semua rakyat Malaysia. Kerajaan mengambil pendekatan ‘no one left behind’ agar bantuan dan suntikan kewangan diberikan kepada semua semua lapisan masyarakat,” katanya dalam kenyataan.

BACA:

Sebenarnya, kata beliau, Bantuan Prihatin Nasional terpakai kepada penggiat seni termasuk pelakon, penyanyi, pengacara, atau warga produksi sekalipun dengan pemberian tunai ‘one-off’ dengan peruntukan bernilai hampir RM10 bilion.

“Warga seni yang berpendapatan isi rumah bawah RM4,000 berhak mendapat bantuan RM1,600, RM1,000 untuk isi rumah berpendapatan bawah RM8,000 serta RM800 kepada individu bujang berpendapatan RM2,000 ke bawah. Penggiat seni yang berpendapatan RM4,000 ke bawah dan masih bujang juga layak untuk bantuan one-off sebanyak RM500.

“Kita sedar ramai penggiat seni sebelum ini mendapat pendapatan lumayan ‘one-off’ setiap kali selesai penggambaran, rakaman atau kerja-kerja berkaitan. Ia tidak melibatkan pembayaran bulanan seperti mana kumpulan pekerjaan lain yang mendapat gaji secara berkala.

“Hal ini menyebabkan ramai penggiat seni hilang pendapatan yang besar sepanjang PKP berlangsung dan mereka gagal untuk melunaskan beberapa bebanan hutang berkaitan,” katanya.

Sebenarnya, kata beliau Bank Negara telah pun mengumumkan motorium atau pengecualian bayaran ansuran kereta, rumah dan sebagainya selama enam bulan untuk meringankan beban rakyat termasuklah anak seni.

“Jadi, kumpulan penggiat seni tetap menerima manfaat dari usaha kerajaan dan tiada satu pun sebab untuk menyatakan ‘penggiat seni tertindas.

“Dari pemerhatian di media sosial, saya tahu ramai yang mengkritik penggiat seni dengan menyamakan penggiat seni Malaysia dan Korea. Seni hiburan di Korea dikatakan menyumbang banyak wang derma kepada kerajaan mereka untuk membantu menangani pandemik COVID-19, sementara di Malaysia adalah sebaliknya.

“Ia agak sukar untuk saya ulas kerana ‘leverage’ hiburan di Malaysia dan Korea adalah sangat berbeza. Namun, saya yakin terdapat juga beberapa artis yang menyumbang kepada Tabung COVID-19, tetapi merahsiakannya untuk tujuan ‘privacy’ mereka sendiri,” kata beliau.

Dalam krisis atau konflik yang berlaku hari ini, katanya badan yang menjaga kebajikan artis juga perlu ke hadapan sebagai mewakili penggiat seni.

“FINAS contohnya harus agresif untuk memperjuangkan nasib penggiat seni, termasuk memohon peruntukan tambahan dan juga suntikan tertentu untuk menaikkan semula industri seni selepas COVID-19 selesai dan reda.

“Pertubuhan kebajikan artis harus proaktif dijadikan tempat pengumpulan aduan serta mendapatkan bantuan makanan, keperluan dan sebagainya. Individu yang dilantik tidak harus lepas tangan dan timbul ketika ‘waktu senang’ sahaja, sementara ramai penggiat seni buntu permasalahan masing-masing.

“FINAS dan beberapa lagi badan berkaitan seperti MACP harus memainkan peranan untuk mengumpul atau pemilikan ‘big data’ para penggiat seni supaya mudah untuk menyalurkan bantuan bagi yang layak,” ujarnya.

Data ini, katanya akan memainkan peranan terutamanya di dalam apa jua krisis seperti wabak, gempa bumi, banjir atau sebagainya.

“Saya juga akan berusaha untuk majukan hal ini kepada YAB Perdana Menteri untuk pelarasan dan mekanisma yang baik bagi membantu anak seni yang kurang bernasib baik.

“Artis-artis veteran juga perlu diberi perhatian memandangkan mereka juga kehilangan pendapatan secara total akibat dari pandemik yang melanda dunia ini,” katanya.

Walau bagaimanapun, katanya, banyak pengajaran yang boleh diambil dari krisis COVID-19 ini antaranya perlunya hidup atas keperluan, bukan kemahuan.

“Sedikit pembayaran yang diterima dari dunia popular juga harus diasingkan sedikit menjadi simpanan kerana kita tidak mampu menduga dugaan yang bakal berlaku kepada kita dan juga keluarga. Ia juga peringatan kepada diri saya jua, yang berkongsi kegusaran yang sama dengan kalian, sepanjang pandemik ini menyerang kita semua.

“Kekalkan lah berada di rumah serta gunakan lah masa ini untuk bersama keluarga tercinta. Ikuti segala perintah yang dikeluarkan agar kita terhindar dari penyakit yang boleh menggugurkan air mata kerana kealpaan kita sendiri. ‘Stay Home, Stay Safe’,” kata Dira.

Show More

Related Articles

Back to top button