PERLIS menawarkan pakej “Pengalaman Pelancongan” yang berasaskan warisan, adat, makanan termasuk mangga harumanis yang digelar antara terbaik di Malaysia, laluan-eko, bukit batu kapur, dan juga suasana sawah padi yang memukau.
Ini kerana di Perlis, tiada produk pelancongan buatan seperti pusat membeli belah mega, taman tema mahupun hotel bertaraf lima bintang.
Bagaimanapun ia sememangnya sudah dimaklumi oleh semua pelancong yang pernah bertandang ke sini.
Demikian titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat merasmikan ‘Sejati Homestay’ di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sanglang, Kampung Rama, Jalan Kuala Sanglang, Perlis sempena Program Kayuhan MAIPs Peduli baru-baru ini.
Keberangkatan tiba Tuanku Syed Faizuddin Putra ke premis yang boleh memuatkan maksima 50 orang penginap tersebut disambut oleh Pengurusnya, Mohd Fuad Mansor.
Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Mohd Nazim Mohd Noor.
Tambah Raja Muda Perlis, Tahun Melawat Perlis 2024-2025 adalah juga selari dengan Tahun Melawat Pertumbuhan Segi Tiga Indonesia, Malaysia, Thailand 2023-2025 (IMT-GT 2023-2025).
Sehubungan itu titah Baginda Perlis amat berharap melalui segala usaha yang bakal dilaksanakan hasil daripada maklumbalas yang sangat baik daripada para pelancong setakat ini, maka jumlah pengunjung diterima pada tahun 2022 iaitu 2.99 juta akan semakin meningkat. – SM