KesihatanNasionalpilihan

PERKESO lancar Program Saringan Kesihatan 2.0

150 pekerja Sime Darby Plantation Berhad jalani saringan kesihatan percuma

PERTUBUHAN Keselamatan Sosial (PERKESO) dengan kerjasama Sime Darby Plantation Berhad (SDP) telah menganjurkan Majlis Pelancaran Program Saringan Kesihatan PERKESO 2.0, bertempat di Sime Darby Plantation Academy, Pulau Carey, Khamis (7 Julai).

Pelancaran Program Saringan Kesihatan PERKESO 2.0 atau HSP 2.0 ini adalah bagi memaklumkan kepada orang ramai secara rasminya mengenai pelaksanaan semula program pemeriksaan kesihatan percuma buat pencarum PERKESO, yang telah bermula sejak 1 Jun 2022. Sebelum ini, operasi HSP terpaksa ditangguhkan sementara dari 1 April 2020 hingga 31 Mei 2022, bagi memberi laluan dan menyokong usaha Kerajaan mengekang penularan wabak COVID-19.

Melalui HSP 2.0, PERKESO telah membawa beberapa penambahbaikan termasuk memperbaharui parameter saringan kesihatan dengan memperkenalkan saringan kesihatan mental dan penilaian risiko kesihatan keluarga bagi memastikan program ini kekal kondusif dan relevan buat golongan pekerja. Berdasarkan statistik PERKESO, seramai 3.6 juta pekerja layak mendapatkan saringan kesihatan percuma di bawah HSP dan daripada jumlah tersebut, seramai 576,902 pekerja telah menjalani saringan kesihatan ini.

Ketua Eksekutif PERKESO Dato’ Seri Dr. Mohammed Azman Dato’ Aziz Mohammed berucap di Majlis Pelancaran Program Saringan Kesihatan PERKESO 2.0, bertempat di Sime Darby Plantation Academy, Pulau Carey.

Majlis pelancaran ini telah disempurnakan oleh Dato’ Seri Dr. Mohammed Azman Dato’ Aziz Mohammed, Ketua Eksekutif PERKESO. Turut hadir mewakili pihak tuan rumah – Encik Roslin Azmy Hassan, Ketua Pegawai Eksekutif, Upstream Malaysia, SDP.

Bersempena dengan pelancaran HSP 2.0, PERKESO turut menganjurkan Program Turun Padang bagi pelaksanaan HSP 2.0 kepada kira-kira 150 orang pekerja SDP di akademi tersebut. PERKESO juga melaksanakan saringan kesihatan asas melalui Mobile Health Screening and Injury Prevention Unit yang menggunakan bas HSP bagi memberi peluang kepada lebih ramai pekerja di SDP untuk menjalani saringan kesihatan.

Menurut Encik Roslin Azmy Hassan, sebagai sebuah syarikat yang senantiasa menitikberatkan kesihatan, keselamatan dan kebajikan pekerja, SDP berasa amat berbangga dan berterima kasih kepada pihak PERKESO kerana telah memilih syarikat tersebut sebagai lokasi pelancaran HSP 2.0.

Ketua Pegawai Eksekutif, Upstream Malaysia, Sime Darby Plantation Berhad, Encik Roslin Azmy Hassan,

“Sime Darby Plantation menggalakkan warga kerja kami untuk membuat pemeriksaan kesihatan secara berkala kerana ini adalah amat penting untuk mengesan sebarang masalah kesihatan dan mendapatkan rawatan yang berkesan dengan lebih awal.”

“Tahniah kami ucapkan kepada PERKESO kerana melancarkan satu inisiatif yang begitu positif dan relevan kepada keperluan wargakerja masa kini. Kami percaya, HSP 2.0 akan terus mendapat sambutan orang ramai dan meningkatkan lagi keprihatinan warga kerja di negara ini kepada penjagaan dan pemantauan kesihatan diri,” menurut Roslin lagi.

Encik Roslin Azmy Hassan ketika mejalani saringan kesihatan.

Sementara itu, Dato’ Sri Dr. Mohammed Azman turut berkongsi mengenai HSP 2.0 yang kini dibuka kepada pencarumnya yang berumur antara 30 hingga 39 tahun dan mempunyai risiko penyakit tidak berjangkit atau Non-Communicable Diseases (NCD). Kriteria baharu yang diperkenal ini bertujuan untuk memperluas akses saringan kesihatannya kepada pekerja daripada pelbagai peringkat umur, sekaligus membolehkan lebih ramai pencarum dapat menikmati insentif ini.

“Pelaksanaan semula HSP menerusi versi 2.0 juga adalah sejajar dengan Inisiatif Saringan Kesihatan Nasional (NHSI) yang akan dilancarkan oleh Kerajaan menerusi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di bawah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) pada bulan Julai 2022. Inisiatif ini bertujuan untuk menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia terutamanya golongan yang berumur 40 tahun ke atas untuk menjalani saringan kesihatan,” tambahnya lagi.

Salah seorang pekerja Sime Darby Plantation Berhad sedang menjalani saringan kesihatan.

Saringan kesihatan adalah penting bagi pengesanan dan pencegahan awal NCD. Ia juga penting bagi mencegah isu hilang upaya dan kematian awal dalam kalangan pekerja. Berdasarkan statistik PERKESO pada tahun 2021, seramai 16,906 pencarum PERKESO dilaporkan hilang upaya atau meninggal dunia akibat NCD, dengan purata 46 kes dilaporkan kepada PERKESO setiap hari.

Adalah penting bagi semua pihak terutamanya para majikan untuk menyokong pembudayaan amalan gaya hidup sihat dalam kalangan pekerja mereka termasuk menggalakkan pekerja untuk menjalani saringan kesihatan secara rutin agar kekal sihat dan produktif.

Dengan kerjasama seumpama ini, PERKESO dan SDP berharap agar ia dapat menjadi pemangkin dan memberikan motivasi kepada lebih ramai majikan untuk tampil ke hadapan bagi melaksanakan saringan kesihatan kepada pekerja masing-masing demi kesihatan dan kesejahteraan bersama. – SM

Baca juga > UNIQLO bekerjasama dengan PERKESO sumbang pakaian kepada pencari kerja golongan rentan

 

(Visited 549 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button