Politik

Peristiwa Lahad Datu sandiwara: Cukupkan dengan sekadar maaf?

WALAUPUN para pemimpin Parti Warisan Sabah (Warisan) sudah meminta maaf ekoran kenyataan bahawa peristiwa di Kampung Tanduo di Lahad Datu hanya satu sandiwara, tetapi adakah ia mencukupi?

Sedangkan dalam peristiwa itu ada anggota pasukan keselamatan yang terkorban dan ada anak isteri serta keluarga yang ditinggalkan.

Apabila ada pemimpin membuat kenyataan seperti itu seolah-olah pengorbanan mereka itu sia-sia dan tidak memberikan apa-apa makna.

“Walaupun mereka minta maaf tetapi inilah perkataan maaf memang cukup senang sebenarnya namun bagaimana kita nak mengembalikan perasaan ahli keluarga yang terkorban ini?

“Dalam politik ada had dan batasan sebenarnya bukan boleh semberono sedap mulut nak cakap dan tidak jaga perasaan hati serta perasaan orang,” kata Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad.

Sepatutnya pemimpin Warisan terbabit memikirkan terlebih dahulu perasaan orang yang terlibat dalam kejadian itu termasuk rakyat Sabah sendiri kerana pencerobohan di Lahad Datu adalah soal keselamatan rakyat.

Akibat kejadian itu sampai hari ini kehidupan rakyat di kawasan itu belum kembali seperti biasa kerana perintah berkurung masih lagi dilaksanakan di kawasan terbabit.

‘’Sebenarnya dan bagaimana kita nak mengembalikan keyakinan rakyat bahawa pasukan keselamatan seolah-olah bermain sandiwara sedangkan itu boleh menyebabkan tertawannya Sabah yang boleh menghancurkan negeri… mereka bercakap seolah-olah tidak memikirkan perasaan orang Sabah itu sendiri.

‘’Sebab itu dalam soal isu Sabah ini saya beritahu kenapa dalam keadaan suasana PRN (Pilihan Raya Negeri) ini kita kena menolak mereka… ini kerana kepimpinan yang ada itulah cara kepimpinan yang mereka lakukan pada hari ini.

“Kita tidak membawa isu-isu yang boleh menyentuh hati dan perasaan orang dan hari ini kita mahu supaya Sabah itu selari dengan kerajaan pusat dan sebab itu juga kita mahu supaya calon-calon yang dipertandingkan di bawah gabungan bersama kami di bawah satu kelompok menerajui kepimpinan baru Sabah ini,’’ kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO itu.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan ceramah bersama calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Karambunai, Datuk Yaakub Khan di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kibagu, malam tadi.

Sebenarnya banyak agenda-agenda penting yang ingin dilakukan di Sabah dan sebagai contoh pembinaan Lebuhraya Pan Borneo yang terhenti dan banyak lagi agenda lain yang ingin dilaksanakan demi kepentingan rakyat dan negeri Sabah itu sendiri.

‘’Ini adalah untuk rakyat dan ini bukan masanya untuk menyebut Sabah untuk orang Sabah. Sebenarnya kita orang Pahang dan saya menerima sepenuh hati orang Sabah. Kita ada Universiti Malaysia Sabah di sini dan di Pahang ada Universiti Malaysia Pahang, sedangkan ramai pensyarah daripada Sabah berada di Pahang dan ramai guru-guru berada di Pahang,

‘’Itu tidak termasuk dengan negeri-negeri lain tetapi dalam soal ini kita kena melihat daripada sudut politiknya… orang Sabah mesti kena ubah sebenarnya. Kalau tidak diubah saya percaya ia akan berlarutan lagi dan tentunya ada masalah yang timbul antara Sabah dengan kerajaan Persekutuan,’’ ujarnya.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button