Nasional

Perintah Kawalan Pergerakan disambung kerana sikap kita

APABILA kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu, maka berbondong-bondongnya rakyat Malaysia pulang ke kampung.

Ketika inilah berlaku gelombang kedua jangkitan COVID-19 dan telah menular ke seluruh negara.

Setelah bosan di kampung maka berbondong-bondong pulalah mereka yang berkenaan mahu pulang ke ibu negara dan bandar-bandar utama.

Ini menyebabkan perintah kawalan pergerakan yang sepatutnya tamat pada 31 Mac ini tidak lagi relevan kerana mereka yang pulang dari kampung dikhuatiri akan menyebarkan wabak tanpa mereka sedari.

Tempoh inkubasi atau pengeraman virus korona sepatutnya matang pada 31 Mac dan sesiapa yang terkena jangkitan akan mengalami gejala gangguan kesihatan pada hari ke-14.

Bagaimanapun pergerakan beramai-ramai untuk pulang ke bandar dari kampung dikhuatiri akan menyebabkan gelombang ketiga.

Oleh itu kerajaan terpaksa melanjutkan lagi perintah kawalan pergerakan sehingga 14 April bagi mengelak penyebaran wabak lebih meluas.

Sehubungan itu mereka yang baru pulang dari kampung perlu mengasingkan diri daripada berhubung dengan orang lain untuk tempoh tersebut.

Jika mereka tidak mematuhi perintah tersebut kemungkinan tercetusnya gelombang ketiga dan ia akan sangat sukar dikawal dan segala kemudahan rawatan kesihatan di negara ini tidak akan mencukupi untuk jumlah pesakit meningkat mendadak.

Kita lihat di Itali. Senarionya hampir sama dengan apa yang berlaku di Malaysia. Dan kini mereka berdepan situasi yang sangat kritikal dengan setakat semalam sebanyak 7,503 telah meninggal dunia.

Jadi patuhilah arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan supaya mengehadkan pergerakan dan mengelakkan daripada berhubung langsung dengan orang lain serta mengamalkan penjarakan sosial.

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button