Nasional

Perintah Kawalan Pergerakan di Simpang Renggam diperketatkan

Perintah Kawalan Pergerakan di dua kawasan Simpang Renggam diperketatkan berkuatkuasa tengah malam ini hingga 9 April.

Perintah kawalan tersebut dikenakan terhadap penduduk di Kampung Dato’ Ibrahim Majid dan Bandar Baharu Dato’ Ibrahim Majid di Simpang Renggam, Kluang, Johor.

Ini susulan jumlah kes positif COVID-19 yang tinggi di dua kawasan tersebut iaitu 61 kes daripada keseluruhan 83 kes di Daerah Kluang.

Dengan pelaksanaan perintah berkenaan, polis, tentera, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan Jabatan Sukarelawan Malaysia akan mengawal seluruh kawasan terbabit. Semua laluan keluar dan masuk akan ditutup.

Menurut Menteri Kanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, tindakan PKPD itu bertujuan membendung jangkitan COVID-19 daripada menular keluar dari kawasan berkenaan,

“Mengambil kira jumlah kes yang tinggi di dua kawasan tersebut, kerajaan atas nasihat Menteri Kesihatan telah memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan pergerakan Diperketatkan di Kampung Dato’ Ibrahim Majid dan Bandar Baru Dato’ Ibrahim Majid di Simpang Renggam, Johor,” kata Ismail Sabri dalam satu kenyataan.

BERITA BERKAITAN:

Menurutnya, penduduk dan pelawat yang telah berada di kawasan tersebut tidak dibenarkan keluar sepanjang tempoh PKPD dilaksanakan.

Bukan penduduk tempatan dan pelawat tidak dibenarkan masuk ke kawasan berkenaan sepanjang tempoh PKPD dilaksanakan.

Makanan asas yang mencukupi untuk tempoh 14 hari akan dibekalkan kepada semua penduduk oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat. Pangkalan perubatan akan dibuka di kawasan terbabit. Semua aktiviti perniagaan dihentikan.

Kedua-dua kawasan tersebut mempunyai 3,570 orang penduduk dan 650 buah keluarga. Semua penduduk diminta untuk bertenang dan memberi kerjasama sepenuhnya kepada petugas-petugas dari KKM serta mematuhi semua arahan pihak berkuasa. -SM

Tags

Related Articles

Back to top button
Close
Close