Nasional

Pergerakan rentas sempadan rancakkan ekonomi, pelancongan – Ismail Sabri

DEMI merancakkan kembali sektor ekonomi termasuk industri pelancongan negara, kerajaan membenarkan pergerakan rentas sempadan melalui skim Vaccinated Travel Lane (VTL) udara, darat dan laut, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, sektor ekonomi dan industri pelancongan sebelum ini terjejas dengan pandemik Covid-19 yang mana kerajaan giat melakukan pelbagai inisiatif bagi membantu sektor-sektor yang terlibat.

“Langkah ini bukan sahaja mampu memulihkan industri pelancongan Sarawak tetapi merancakkan kembali ekonomi khususnya di bahagian Miri, Limbang dan Lawas yang terletak bersempadan dengan Brunei,” katanya.

Perdana Menteri berkata demikian pada majlis perasmian Program Citrawarna Keluarga Malaysia 2022 di Kuching Waterfront, Sarawak, malam ini.


Festival Citrawarna Keluarga Malaysia yang berlangsung selama empat hari dalam suasana pemantauan SOP yang ketat bagi mengekang penularan Covid-19 dan mempercepatkan proses era endemik tidak lama lagi.

Ismail Sabri berkata, Festival Citrawarna Keluarga Malaysia ini juga berupaya mempromosikan produk kesenian dan warisan khususnya di Sarawak yang sememangnya cukup kaya dengan ‘biodiversity’.

Dalam ucapannya, Ismail Sabri juga berkata, selain Singapura dan Indonesia, Brunei secara dasar juga telah bersetuju dengan cadangan pelaksanaan VTL hasil perbincangan dengan Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah semasa kunjungan beliau ke Brunei baru-baru ini.

“Saya juga baharu sahaja pulang daripada lawatan rasmi ke Thailand dan kerajaan bercadang untuk melaksanakan perkara sama dengan jiran kita itu,” ujar beliau.

Ismail Sabri juga berkata, kerajaan telah melaksanakan Gelembung Pelancongan Antarabangsa Langkawi (LITB) pada November 2021 yang membenarkan pelancong asing datang ke Malaysia melalui Pulau Langkawi.

“Inisiatif ini merupakan ujian rintis atau ‘pilot test’ ke atas kesediaan dan kesiapsiagaan sektor pelancongan termasuklah penggiat industri dan agensi-agensi kerajaan yang berkenaan terhadap ‘norma baharu’.

“Walaupun baru tiga bulan, 5,686 pelancong asing telah memanfaatkan LITB dan projek ini telah menjana pendapatan lebih RM28 juta kepada ekonomi Pulau Langkawi,” jelasnya.

Beliau berkata, sejak diperkenalkan, tiada sebarang kluster jangkitan yang berpunca daripada pelancong LITB dan hanya 1% sahaja didapati positif Covid-19 di bawah kategori 1 dan 2 ketika saringan dibuat di KLIA dan Langkawi.

Tambah beliau, maklumbalas baik yang diterima daripada pihak-pihak yang terlibat dalam pelaksanaan LITB memberi keyakinan kepada kerajaan untuk meneruskan inisiatif LITB sehingga pintu sempadan negara dibuka sepenuhnya kelak.

Ismail Sabri juga mengingatkan, dalam Bajet 2022, kerajaan telah mengumumkan bantuan khas RM85 juta kepada lebih 20,000 pengusaha pelancongan yang berdaftar di bawah MOTAC.

Bantuan ini, kata Perdana Menteri, akan dibayar sebanyak dua kali iaitu pada bulan Mac ini dan Mei.

“Antara yang bakal menerima manfaat bantuan ini ialah 10,000 pemandu pelancong yang akan menerima RM1,500 seorang, 5,592 agensi pelancongan (TOBTAB) menerima RM9,000 setiap agensi dan 3,100 pengusaha homestay yang berdaftar dengan MOTAC akan menerima RM1,800 seorang,” katanya. – SM

(Visited 84 times, 1 visits today)

Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button