Politik

Penyertaan Mohamaddin dalam Bersatu kukuhkan Kerajaan Sabah – Hamzah

KEMASUKAN Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Segama Datuk Mohammadin Ketapi ke dalam Bersatu akan memperkukuhkan lagi Kerajaan Sabah pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, Mesyuarat Khas Majlis Pimpinan Tinggi (MPT) Bersatu telah memperakukan dan menerima permohonan Mohammadin sebagai ahli Bersatu yang baharu.

“Bersatu menyambut baik keahlian beliau kerana ianya bukan sahaja bakal mengukuhkan lagi kedudukan Kerajaan Negeri Sabah pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Noor, malahan ianya juga akan memberikan manfaat yang besar kepada pembangunan serta kebajikan rakyat di Parlimen dan DUN yang beliau wakili,” katanya.

Mohammadin yang juga Ahli Parlimen Lahad Datu keluar daripada Parti Warisan Sabah (Warisan) pada 30 Oktober lalu.

Bekas Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya ketika pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH)-Warisan itu membuat keputusan tersebut demi usaha dan tumpuan untuk membawa pembangunan di DUN Segama dan Parlimen Lahad Datu kerana beliau sukar menjawab pertanyaan penyokong mengenai usaha membangunkan kawasan.

Sementara itu, mesyuarat khas yang dipengerusikan oleh Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin turut memutuskan untuk mengadakan perbincangan bersama parti-parti komponen PN dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi menentukan strategi dan persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak pada Disember ini.

Perbincangan turut meliputi persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Selain itu, mesyuarat berkenaan turut membincangkan analisis keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November 2021.

Menurut Hamzah, keputusan PRN Melaka membuktikan bahawa Perikatan Nasional (PN) adalah parti yang mempunyai pengaruh serta sokongan yang kukuh dalam kalangan pengundi Melaka.

“Bersatu merakamkan ucapan terima kasih kepada pengundi PRN Melaka yang telah mengundi dan memberi sokongan kepada calon-calon daripada Bersatu dan parti komponen Perikatan Nasional yang lain iaitu Pas dan Gerakan.

“Sokongan ini adalah manifestasi penerimaan baik rakyat terhadap Perikatan Nasional dan parti-parti komponennya.

“Susulan itu, Bersatu telah mengenalpasti kelemahan semasa PRN Melaka lalu dan akan mengambil langkah penambah-baikan dengan segera,” katanya dalam satu kenyataan.-SM

(Visited 179 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button