Bola SepakSukan

Penyerang muda negara jadikan Real Madrid destinasi impian

Penghijrahan tonggak utama skuad Bawah 19 Tahun (B-19) negara Luqman Hakim Shamsudin ke kelab profesional Belgium, KV Kortrijk, telah membakar semangat barisan pemain muda negara untuk memasang impian menggunung beraksi bersama pasukan terbaik dunia.

Mengidamkan juara La Liga musim 2020 Real Madrid sebagai destinasi impiannya, pemain skuad Piala Presiden Kedah Amirul Akmal Safarinizam berharap hasratnya itu menjadi kenyataan, pada satu hari nanti.

Penyerang berusia 18 tahun itu berkata, dengan kerja keras tidak mustahil pemain bola sepak negara, mampu beraksi bersama mana-mana pasukan gergasi dunia.

“Saya memang bercita-cita nak main di luar negara, kalau boleh nak main untuk pasukan Real Madrid.

“Saya minat Cristiano Ronaldo dan saya ingin jadi pemain berkelas dunia seperti beliau,” kata pemain berasal dari Sungai Petani itu, ketika ditemui pada sesi kem latihan skuad B-19 negara di Kompleks Sukan PKNS di sini, hari ini.

Untuk rekod, pemain muda Jepun Takefusa Kubo antara pemain muda Asia yang mendapat tempat beraksi dalam kancah La Liga, bersama pasukan RCD Mallorca.

Luqman Hakim, 18, yang juga rakan sepasukan Amirul Akmal dalam kem latihan skuad B-19 negara, akan menjadi pemain Malaysia pertama beraksi di liga utama Belgium, selepas melengkapkan proses perpindahannya ke kelab KV Kortrijk selama lima tahun, semalam.

Skuad B-19 negara, kini dalam persiapan menghadapi Kejuaraan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) B-19  di Uzbekistan, dari 14 hingga 31 Okt.

Pasukan yang mara ke peringkat separuh akhir kejuaraan itu, layak secara automatik ke saingan Piala Dunia B-20 di Indonesia, tahun depan. – BERNAMA

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button