Ekonomi

Penyeragaman peraturan, cukai hotel dan Airbnb akan dimuktamadkan – Mustapa

MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed memberitahu, kerajaan akan memuktamadkan penyeragaman beberapa isu berkaitan dengan industri perhotelan negara.

Ini kerana industri tersebut ‘nazak’ dan terdapat beberapa hotel di ibu negara yang terpaksa mengecilkan operasi mereka demi kelangsungan pengoperasian.

Walaupun masalah yang berbangkit dalam industri perhotelan negara wujud disebabkan oleh penularan wabak Covid-19 namun ia masih dalam kawalan pemain-pemain perhotelan.

Tetapi isu yang membabitkan industri perhotelan  antaranya, peraturan dan cukai yang melibatkan sektor perhotelan, perkhidmat Airbnb (penginapan dan sarapan) akan cuba diatasi dalam masa terdekat.

Mustapa berkata, tindakan itu bagi memberi nafas baharu kepada industri pelancongan khususnya pengusaha sektor perhotelan.

Ini termasuk pengusaha perhotelan di Melaka yang menanggung beban lebih besar berbanding Airbnb ekoran penularan wabak Covid-19 kerana sektor perhotelan terikat dengan beberapa peraturan dan kawalan berbanding Airbnb.

“Beberapa perbincangan telah dan sedang diadakan antara Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya; Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta kerajaan negeri.

“Dan kita ada satu jawatankuasa di bawah Ketua Setiausaha Negara (KSN), Mohd. Zuki Ali yang ditugaskan untuk menyelesaikan karenah sebegini,” katanya seperti dilaporkan BERNAMA.

Beliau berkata demikian pada Majois Makan Malam dan Sesi Perbincangan serta Libat Urus “Industri Pelancongan: Sebelum dan Selepas Covid-19” di Bandar Hilir, malam tadi.

Katanya lagi, langkah itu juga penting memandangkan sektor pelancongan turut menyumbang kepada pemulihan ekonomi negeri dan negara khususnya setelah terjejas akibat penularan wabak Covid-19.

“Sudah pasti dalam perniagaan, kita ada konsep level playing field iaitu berlaku adil pada semua.

“Jadi, kalau satu komponen itu dikenakan dengan pelbagai peraturan, satu sektor lagi tidak tertakluk kepada sebarang peraturan, sudah pasti ini tidak adil,” jelas beliau.

Mustapa juga berkata, kerajaan sedang dalam peringkat akhir, mempertimbangkan semua permohonan yang dikemukakan setiap negeri di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) termasuk Melaka.

Kerajaan negeri Melaka, misalnya, memohon peruntukan RM100 juta bagi projek pembangunan kereta kabel dan untuk menyelenggara beberapa destinasi pelancongan, memerlukan RM25 juta, kata Mustapa sambil memberi contoh.

Jadi, kata beliau, perlu berbincang dengan Menteri Kewangan dan akhir sekali, dengan Perdana Menteri sebelum membuat keputusan tentang permohonan yang dikemukakan. – SM

(Visited 182 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button