KERAJAAN akan bertindak tegas ke atas penyebar berita palsu yang boleh mengganggu gugat keamanan negara dan keharmonian kaum dengan mendakwa mereka ke mahkamah, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mohamed Hanipa Maidin.
Beliau berkata, kerajaan selama ini ‘berdiam diri’ kerana merasakan masyarakat tidak akan menyebarkan berita palsu lagi namun masih ada individu yang menyebarkan berita palsu termasuk mengenai COVID-19 serta fitnah sehingga mengganggu gugat keamanan negara.
“Itu adalah titik permulaan mengapa kerajaan bertegas untuk memburu individu ini daripada terus menyebarkan fitnah terhadap kerajaan,” katanya dalam sidang media bersama Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Eddin Syazlee Shith berhubung isu penyebaran berita palsu dan fitnah di Putrajaya hari ini.
Mohamed Hanipa berkata, walaupun Akta Antiberita Tidak Benar 2018 telah dihapuskan, namun beliau percaya undang-undang sedia ada cukup untuk membendung gejala berita palsu.
Menegaskan kerajaan tidak akan mengkaji semula pemansuhan akta berkenaan kerana undang-undang sedia ada seperti Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 505 Kanun Keseksaan akan dapat membendung gejala berita palsu, katanya.
“Kami komited melakukan perubahan dengan menghapus akta berita palsu (Akta Antiberita Tidak Benar) demi mewujudkan negara yang demokrasi tetapi kita amat sedih apabila ada pihak cuba menyalahgunakan kebebasan yang diberi,” katanya.
Dalam pada itu, Eddin Syazlee berkata, sejak Januari lepas sehingga hari ini, sebanyak 62 kes membabitkan berita palsu telah disiasat.
Daripada jumlah itu, lapan kes telah didakwa melibatkan sembilan pertuduhan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 505 Kanun Keseksaan, katanya.
Sehingga hari ni, katanya, lebih 2,000 artikel dikeluarkan melalui portal Sebenarnya.my bagi menangkis berita-berita palsu.
“Orang ramai dinasihatkan untuk menyemak dahulu sebarang maklumat yang diperoleh,” katanya.
— BERNAMA