Nasional

November 2020 letakkan Perdana Menteri `itik patah sayap’

TUN Dr. Mahathir Mohamad membuat kesilapan mengumumkan November 2020 sebagai tarikh akhir beliau akan melepaskan jawatan Perdana Menteri kerana ia meletakkan beliau dalam kedudukan ‘lame duck (itik patah sayap) Prime Minister’.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tan Sri Dr Rais Yatim berkata, ia juga menyebabkan seluruh ahli Jemaah Menteri bakal mengikut langkah beliau meletakkan jawatan berlandaskan Konvensyen Kerajaan Berkabinet.

“Sewajarnya cukup disebut selepas penganjuran Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) tanpa dinyatakan November (2020).

“Tarikh akhir itu sudah disebut, maka janji perlu dikota. Apa pun saya yakin hanya Dewan Rakyat menjadi kuasa pemutus kedudukan Perdana Menteri, bukannya Majlis Presiden Pakatan Harapan,” kata beliau kepada Suara Merdeka hari ini.

Rais yang juga Pengerusi Bersatu Negeri Sembilan menjelaskan lebih lanjut apa yang dimaksudkan beliau dalam ciapan twitternya yang “memberi gambaran sesuatu akan berlaku sebelum November ini”.

Ia dipercayai merujuk kepada isu peralihan kuasa jawatan Perdana Menteri di antara Dr Mahathir dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam pada itu, Rais menyifatkan isu peralihan kepimpinan kerajaan itu suatu tamparan kepada orang Melayu yang seharusnya berbuat sesuatu untuk memastikan kedudukan Melayu dan Islam berada di landasan yang betul.

“Bukannya ditentukan oleh orang lain. Bagaimanapun saya kecewa kerana pemimpin-pemimpin PH lebih memikirkan soal peralihan kepimpinan daripada isu-isu berkepentingan rakyat yang diperkatakan hari ini.

“Isu ini menyebabkan Dr Mahathir berada di ruang yang tersudut disebabkan asakan DAP dan pihak-pihak dalam PKR yang tidak bersama (timbalan presiden) Datuk Seri Mohamed Azmin Ali,” kata beliau. – SM

(Visited 186 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button