Politik

Peniaga putu mayam tekad berkempen untuk Perikatan Nasional

Maidin antara peniaga kecil yang terkesan akibat daripada pandemik Covid-19.

Ketika perintah kawalan pergerakan dilaksanakan buat pertama kali beliau langsung tidak dapat berniaga sama sekali.

Bagaimanapun setelah dibenarkan berniaga, dia dan peniaga kecil yang lain terpaksa berdepan dengan pihak berkuasa tempatan yang tidak berhati perut merampas peralatan perniagaan.

Bahkan beliau yang berniaga putu mayam yang dibawa menggunakan motosikal telah disaman RM500 oleh anggota penguatkuasa.

Tidak cukup itu, katanya, mereka turut merampas peti putu mayamnya dan mengenakan bayaran penyimpanan RM20 sehari.

“Kami ini sudahlah peniaga kecil dan berniaga kecil-kecilan sejak lima tahun lalu, dan jualan juga terjejas kerana pandemik, pihak berkuasa pula langsung tidak bertolak-ansur,” katanya.

Maidin berkata dia mendengar di Wilayah Persekutuan peniaga kecil diberi kebebasan menjalankan perniagaan dan tidak dikenakan sebarang bayaran atau tindakan penguat kuasa.

“Jadi saya telah meminta sejumlah lencana gambar Tan Sri Muhyiddin (Yassin) dan saya akan berkempen untuk membantu Perikatan Nasional (PN), supaya kerajaan negeri yang mesra peniaga kecil dibentuk.

“Tan Sri (Muhyiddin) seorang yang prihatin dengan masalah rakyat dan jika Perikatan Nasional, saya yakin nasib para peniaga akan lebih terbela,” katanya.

Anaknya, Mohamad pula bercerita ada pihak tertentu kadangkala bersikap seperti samseng dan kenegerian.

“Mereka pernah meminta kad pengenalan saya, apabila melihat 02 (kod rakyat negeri Kedah) mereka mengusir saya dengan kata-kata kesat dan memberitahu orang luar tidak dibenarkan berniaga di Johor,” katanya yang berasal dari Kuala Ketil Kedah.

Beliau tidak menyangka di negara ini ada orang bersikap sedemikian apatah lagi dengan peniaga kecil seperti beliau dan bapanya.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button