Pengusaha Pusat Siber Tidak Tahu Kewujudan Dan Cara Guna Zoom Atau Google Meet
Penulis gemar lepak-lepak dalam kumpulan Whatsapp kerana di dalamnya, terlalu ramai kaki membawang yang suka menyebarkan cerita baharu dengan sangat pantas.
Cerita baharu ini boleh jadi dalam bentuk link artikel, tangkap layar perbualan Whatsapp atau perkongsian status peribadi orang lain dari Facebook atau Twitter.
Maka.. mana-mana ahli kumpulan Whatsapp yang aktif akan mula tunjuk taring. Kononnya mahu dilihat lebih pandai, lebih berilmu dan serba tahu mengalah pakar-pakar dunia.
Kisah yang penulis ingin kongsikan ini berlaku dalam kumpulan Whatsapp tadi. Mungkin nampak kelakar tetapi setiap hujah yang dikeluarkan layak tak kalau dianggap ‘bodoh’ secara automatik?
Mungkin anda boleh nilaikkan sendiri situasinya bagaimana, apa yang dihujahkan beliau dan apa perasaan penulis yang sudah cuba untuk menjadi neutral sehabis baik!
Pening Juga Otak Nak Faham
Di dalam kumpulan Whatsapp itu terdiri daripada orang biasa, tukang jahit, penghantar makanan, cikgu, ustaz, pemilik bengkel kereta dan pengusaha pusat siber yang agak popular di XXXXXXX.
Sebagai admin kumpulan Whatsapp, En. XXX mahu jalankan bantuan bendera putih kepada mana-mana ahli kumpulan Whatsapp yang terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.
Maka.. ramai yang bersetuju memandangkan kempen daripada rakyat kepada rakyat itu telah tular dan diyakini bahawa ahli kumpulan lain yang terjejas tidak akan malu menyatakan keperluan diri.
Sebelum meneruskan misi bantuan bendera putih itu, admin kumpulan Whatsapp tadi mengajak kesemua ahli yang aktif ke satu perbincangan secara atas talian.
Pada mulanya, admin kumpulan Whatsapp berkenaan mahu menggunakan Zoom tetapi disebabkan yang percuma mempunyai limit masa, ada yang cadangkan guna sahaja Google Meet.
Paling tidak pun masanya lebih panjang sedikit berbanding Zoom tadi dan keputusan ini diterima ramai kecuali seorang iaitu pengusaha pusat siber yang gemar menunjukkan dirinya pandai.
Bantahan pengusaha pusat siber mencetuskan persoalan umum, kenapa dia membantah? Ada kaedah lainkah untuk bermesyuarat semasa PKP selain menggunakan Zoom atau Google Meet.
Namun jawapan yang dinanti-nantikan amat hampa dan membuatkan ahli kumpulan lain masing-masing ada yang ‘PM tepi’ mempersoalkan statusnya sebagai pengusaha pusat siber.
Tak Reti Guna Zoom Atau Google Meet
Katanya sepanjang dia menjadi pengusaha pusat siber, dia tak pernah dengar langsung tentang Zoom atau Google Meet. Baginya itu semua leceh dan menyukarkan semua orang.
Maka perbalahan mula berlaku kerana ada yang persoalkan, apa yang lecehnya? Apa yang sukarnya? Asalkan ada internet yang stabil dan peranti tidak overheating, semua OK sahaja.
Pengusaha pusat siber tetap berkeras dengan pendiriannya dan meminta admin kumpulan Whatsapp tadi menukar kaedah untuk bermesyuarat.
Siap memberi cadangan, disuruhnya admin kumpulan Whatsapp itu buat sahaja Facebook Live dan nanti ahli kumpulan yang lain boleh tonton live dan berikan komen.
Admin kumpulan Whatsapp juga menolak. Katanya perbincangan itu hanya peringkat dalaman. Kenapa sampai nak kena buat Facebook Live? Nanti orang luar entah siapa-siapa pula akan mengganggu.
Tiba Hari Mesyuarat Atas Talian
Pagi itu admin kumpulan Whatsapp tinggalkan link Google Meet. Katanya mesyuarat akan bermula pada pukul 2 petang dan semua orang boleh masuk untuk dengar apa yang ingin dibincangkan.
Pengusaha pusat siber tadi terus melenting. Menuduh admin kumpulan Whatsapp tidak prihatin dan sengaja tidak mahu benarkan dia sertai mesyuarat itu.
Sampaikan dia siap kata, “Aku ada duit. Jangan ingat aku takde duit untuk beri bantuan ni. Korang memang saja cari pasal dengan aku. Jangan sampai aku left group ni!”
Mana ahli kumpulan lain tak rasa pening, mabuk dan naik gila? Apa masalahnya SYAITOONNN? Klik sahajalah link Google Meet itu, pastikan nama betul dan tekan masuk untuk sertai!
Masih lagi dia berkeras, Google Meet adalah sesuatu benda yang asing dan sukar buatnya sampaikan ada yang berkata, “Hai, takkan pengusaha pusat siber tak tahu guna Google Meet? Buat malu jer!”
Terus dia left group. Alhamdulillah. Syukur. Itulah yang terucap oleh ahli kumpulan Whatsapp yang lain. Kalau dah bebal sangat, berhentilah main Whatsapp atau media sosial. Buat sakit hati!
Petang Yang Menyakitkan Hati
Ingatkan selepas pengusaha pusat siber left group dan kisahnya berakhir di situ. Rupa-rupanya tidak. Sanggup betul dalam keadaan PKP ini, dia ke rumah admin kumpulan Whatsapp tadi.
Sudah orang sampai depan pagar, bukan budaya orang kita menghalau tetapi admin kumpulan Whatsapp itu tetap tak benarkan dia masuk ke dalam rumah.
Kalau nak bersembang, dekat luar sahaja. Sebab nak elakkan satu rumah kena jangkitan Covid-19. Takut datangnya daripada orang luar walaupun masing-masing sudah jaga diri.
Nak tak nak, dia pun akur dan berdirilah depan pagar rumah admin kumpulan Whatsapp tadi. Admin kumpulan Whatsapp ini pula perangainya jenis malas nak melayan.
Maka dia pun mulakan mesyuarat seperti biasa dengan ahli kumpulan kerana sudah pukul 2 petang. Namun pukul 2.15 petang, pengusaha pusat siber menjerit dari luar.
Memanggil admin kumpulan Whatsapp tadi dan bertanya kenapa masih tidak mulakan mesyuarat dan masa itu sangat penting. Jangan buang masa dia katanya!
Padahal dia yang gigih datang ke rumah admin kumpulan Whatsapp semata-mata mahu juga ikuti mesyuarat misi bendera putih yang bakal dibuat.
Admin Kumpulan Whatsapp Mula Geram
Dari jauh admin kumpulan Whatsapp tadi menjerit, “Kau tengok balik group Whatsapp yang kau left tadi. Cari link yang aku share.
“Lepas tu aku nak kena buat apa?” soal pengusaha pusat siber tadi.
“Kau klik ajerlah link Google Meet tu. (Bersuara perlahan) Bebal betul!” Admin kumpulan Whatsapp mula geram.
“OK.. Kenapa dia automatik keluar nama aku ni? Aku tak tulis pun lagi?” soal pengusaha pusat siber lagi.
“Kau betulkan jer nama kau sendiri. Lepas tu tekan proceed untuk masuk. Tunggu aku approve.” balas admin kumpulan Whatsapp.
Sebaik sahaja pengusaha pusat siber tadi ke dalam Google Meet, dengan bangganya dia berkata, “Apa barang duduk dekat rumah masing-masing? Tengok aku.. dekat rumah admin tau!”
Namun masing-masing buat tak tahu. Mungkin tengah meluat agaknya dengan pengusaha pusat siber itu. Entah apa populariti yang dicarinya. Sengaja mahukan perhatian.
Macam Mana Nak Left?
Mesyuarat berlalu dan sampai ke penghujungnya. Admin kumpulan Whatsapp memberikan kata-kata penutup dan seorang demi seorang mulai left.
Pengusaha pusat siber jadi gelabah. Kenapa jadi begitu? Kenapa yang dia punya masih tidak left? Beberapa kali jugalah dia memanggil nama admin kumpulan Whatsapp itu.
Kali ini, admin kumpulan Whatsapp itu langsung tidak mengendahkannya dan tidak lama kemudian, pengusaha pusat siber pun berlalu pergi.
Kenapa penulis boleh tahu cerita ini? Kerana penulis adalah jiran kepada admin kumpulan Whatsapp itu dan mujurlah pengusaha pusat siber tadi tak kenal muka penulis.
Kalau dia tahu penulis salah seorang ahli dalam kumpulan Whatsapp itu, elakkan dia bertenggek depan rumah penulis pula nanti. Malas nak melayan orang terlebih ‘bijak’ dan ‘serba tahu’!