Nasional

TPM nasihat pasukan HM4P pulang ke M’sia, keadaan tak menentu di Gaza

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menasihati pasukan Misi Humanitarian Mission 4 Palestine (HM4P) yang kini berada di Kaherah, Mesir untuk pulang dahulu ke Malaysia berikutan keadaan di Gaza yang masih tidak menentu.

Nasihat itu disuarakan Ismail Sabri semasa video konferensi beliau bersama pasukan bantuan kemanusiaan ke Palestin itu yang diketuai Pengerusi Biro Kebajikan Umno Malaysia (BKUM) yang juga Ahli Parlimen Baling Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim semalam.

“InsyaAllah jika keadaan stabil mereka boleh ke Gaza semula. Kepada rakyat Malaysia yang dikasihi, setiap orang ada pengorbanannya, di dalam pengorbanan juga pasti ada ujiannya.

“Tetapi Allah itu Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang, dia mengetahui setiap pengorbanan seorang insan.

“Semoga setiap usaha dan pengorbanan itu dijadikan asbab kebahagiaan yang dapat untuk semua,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook rasminya malam tadi.


Misi HM4P bermula 19 Jun lepas dengan tujuan menyatakan solidariti rakyat Malaysia kepada warga Palestin selain menyalurkan bantuan kemanusiaan dalam bentuk kewangan, bekalan makanan dan ubat-ubatan kepada Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis, Tebing Barat dan warga Palestin terjejas di Gaza yang diserang tentera Israel pada Mei lepas.

Serangan rejim Israel ke atas wilayah Gaza yang berakhir dengan gencatan senjata pada 21 Mei lepas menyaksikan kemusnahan harta benda selain mengorbankan lebih 250 warga Palestin termasuk 66 kanak-kanak.

– Bernama

(Visited 223 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button