NegeriTravel

Pengunjung Thailand diharap meningkat ke Perlis- Raja Muda

RAJA Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berharap semoga apabila lebih banyak pengunjung daripada Thailand bertandang ke Perlis, mungkin Kerajaan Thailand dan Malaysia akan mempertimbangkan supaya masa penutupan sempadan di Padang Besar akan dilewatkan dari 10 malam ke 12 tengah malam, pintu masuk di Kuala-Perlis akan dibuka kembali serta kemudahan ‘Free Flow’ di Wang Kelian dibenarkan balik.

Demikian titah Baginda di majlis pelancaran ‘Promosi Masakan Perlis’ iaitu berupa Kurma Daging Perlis yang diadakan di Hotel Yannaty, Hat Yai, Thailand sempena ‘Hari Media Dan Pelancongan Malaysia-Selatan Thailand 2024’ di hotel yang sama yang disempurnakan perasmiannya oleh Baginda baru-baru ini.

Tuanku Raja Muda dan Raja Puan Muda Perlis berkenan menyerahkan plaka sebagai simbolik promosi tersebut kepada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) hotel berkenaan iaitu Rachen Attamart.

Hadir sama ialah Gabenor Wilayah Songkhla, Somnuek Promkhieo dan Gabenor Wilayah Pattani, Patimoh Sadiyamu.

Turut hadir ialah Naib Gabenor Narathiwat Chatchai Usaha, Naib Gabenor Satun Kanit Kongchouy dan Timbalan Gabenor Yala Olan Bilsan.

Hari Media tersebut dianjurkan atas inisiatif bersama oleh Persatuan Media Selatan Thailand bersama-sama Persatuan Wartawan Perlis (PWP), Persatuan Perdagangan dan Pelancongan Halal Thailand – Asia Tenggara (TAHTA) dan Sekretariat Kebangkitan Nusantara Sejahtera (SKNS).

Menyentuh mengenai pelancongan secara khususnya, Baginda menyarankan pihak media perlu memainkan peranan dalam mempromosi dan melaporkan sebarang aktiviti yang berlaku serta keunikan atau keindahan destinasi pelancongan menarik secara terbaik dan menyeluruh untuk membantu memperkenalkannya.

Tuanku Syed Faizuddin Putra memohon pihak media yang hadir membantu mewar-warkan mengenai kempen Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024-2025.

Promosikanlah mengenai pusat-pusat pelancongan, acara-acara yang diadakan, lokasi-lokasi yang menarik serta juga juadah istimewa yang ditawarkan di negeri Perlis.

Media juga harus mengangkat pelancongan Perlis sebagai pelancongan mesra Muslim dan tiada jurang besar mengenai bahasa memandangkan ada rakyat Perlis yang boleh berbahasa Thai. Apatah lagi dalam situasi semasa pertukaran matawang yang memihak kepada Thai Baht.

Tuanku Syed Faizuddin Putra mencadangkan supaya di masa hadapan program sebegini juga boleh dianjurkan dengan penglibatan sama oleh rakan-rakan media dari Indonesia selaras dengan inisiatif Pertumbuhan Segi Tiga Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT) sepertmana yang pernah dilaksanakan di Perlis beberapa tahun yang lalu. – SM

BACA 3 juta rakyat Malaysia melancong ke Thailand sehingga Oktober lalu

BACA Kenderaan bawa pelancong ke Thailand dipelawa “side trip”di Perlis

(Visited 45 times, 4 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button