Politik

Pengundi positif Covid-19 tidak dibenarkan ke pusat pengundian

 Pengundi disahkan positif Covid-19 tidak dibenarkan keluar dari tempat rawatan seperti hospital, pusat kuarantin dan rumah untuk ke pusat pengundian kerana boleh membawa jangkitan kepada awam.

Berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) pencegahan Covid-19 Pilihan Raya Negeri Melaka, pengundi berstatus patient under investigation (PUI) dan person under surveillance (PUS) yang ingin mengundi hendaklah memohon kebenaran Pegawai Kesihatan Daerah.

Selain itu, pengundi kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) perlu menjalani ujian RTK Ag dalam masa 24 jam sebelum tarikh mengundi dan hanya berstatus negatif  dan mendapat kebenaran polis dibenarkan untuk keluar mengundi.

Dalam pada itu, SOP sama menggariskan pengundi bergejala seperti batuk, sakit tekak atau sukar bernafas atau suhu badan melebihi 37.5 darjah celcius hendaklah diasingkan serta-merta daripada pengundi yang lain dan mengundi di khemah khas.

“Pengundi bergejala wajib memakai pelitup muka berganda dan sarung tangan getah pakai buang sebelum memegang kertas undi dan ke petak mengundi manakala petugas terlibat mengendalikan individu bergejala hendaklah mematuhi prosedur telah ditetapkan serta memakai pakaian perlindungan diri sepanjang mengendalikan individu berkenaan,” jelas SOP berkenaan.

Menurut SOP itu lagi, hanya lima orang penyokong calon yang menang (keputusan tidak rasmi) dan tiga orang penyokong calon lain yang bertanding dibenarkan hadir ke pusat penjumlahan undi dan kebenaran masuk ke pusat penjumlahan undi akan dimaklumkan manakala pas masuk diedarkan Pegawai Pengurus sebelum pengumuman keputusan pilihan raya dibuat.

“Sebarang acara sambutan atau majlis keraian kemenangan calon adalah tidak dibenarkan,” jelas SOP berkenaan.

Dalam pada itu, ketika hari mengundi termasuk pengundian awam, ejen parti atau calon yang telah selesai bertugas atau pengundi yang telah selesai mengundi perlu segera meninggalkan pusat mengundi.

Cadangan masa yang digalakkan bagi setiap pengundi untuk keluar mengundi dinyatakan apabila pengundi membuat semakan maklumat pengundian melalui aplikasi mySPR Semak atau di portal Semakan Daftar Pemilih SPR.

“Ini bagi mengawal jumlah pengundi yang datang ke pusat mengundi dalam satu-satu masa. Peringkat waktu yang digalakkan adalah pada pukul 8 hingga 10 pagi, 10 pagi hingga 12 tengah hari, 12 tengah hari hingga 2 petang dan 2 hingga 4.30 petang,” maklum SOP itu.

 

(Visited 108 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button