fbpx
BeritaPolitik

Pengorbanan Anwar, Kak Wan di malam 9 Mei 2018…

NAMPAK benar kesabaran Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bersedia menunggu enam bulan lagi sebelum disahkan sebagai Perdana Menteri kelapan.

Seperti mana yang beberapa kali diulang oleh Presiden PKR itu: “Que sera sera (apa yang terjadi, terjadilah).

Que sera sera asalnya dari bahasa Sepanyol yang menjadi popular selepas dijadikan lirik lagu pada 1956 oleh penyanyi Amerika Syarikat, Doris Day.

Dari bait-bait lagu itu terkandung makna yang cukup mendalam.


Kalau dikaitkan dengan Anwar, tentu sekali berkisar tentang laluan penuh onar berduri yang diharunginya sehingga menghampiri kemuncak politiknya hari ini.

Sesuatu yang barangkali kita semua terlepas pandang adalah, kalaulah Anwar tidak sabar pada malam keputusan pilihan raya umum ke -14 (PRU-14), agaknya beliau sudah arahkan isterinya yang juga presiden PKR waktu itu Datuk Seri Dr. Azizah Wan Ismail atau Kak Wan `palam’ Tun Dr. Mahathir Mohamad. Tapi itu tidak berlaku.

Kak Wan sendiri sebenarnya memiliki ruang dan peluang besar untuk ‘hijack’ jawatan nombor satu pada malam 9 Mei 2018 itu setelah Barisan Nasional (BN) tumbang. Ini kerana PKR memiliki jumlah kerusi terbanyak berbanding parti-parti lain termasuklah Bersatu.

Dan meskipun sudah menjadi rahsia umum Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Sultan Muhammad V memberi tawaran jawatan Perdana Menteri tersebut kerana Kak Wan ialah Presiden PKR dan simbol PKR digunakan semua parti dalam PH pada PRU-14, beliau tetap menolak tawaran itu kerana berpegang kepada janji bahawa Dr Mahathir akan menjadi Perdana Menteri.

Apabila Kak Wan merujuk kepada Anwar pun, Anwar juga bertegas mengarahkan Kak Wan berpegang pada keputusan awal beri laluan pada Tun M.

Inilah barangkali seperti mana difahami para penyokong PKR suatu pengorbanan tiada tolok bandingnya Kak Wan dan Anwar.

Dalam temubual dengan Reuters semalam, Anwar menyatakan kesediaannya melupakan kisah silam yang penuh kepahitan dan sanggup memberi ruang kepada Dr Mahathir untuk meneruskan sumbangan memajukan negara, selepas dilantik sebagai Perdana Menteri.

Benar! peralihan kuasa kepemimpinan kerajaan ada prosesnya. Menukar terus seseorang Perdana Menteri pula lain ceritanya.

Istilah pass baton dan peralihan kuasa tentu saja dua perkara berbeza.

Cuma, bukankah Dr. Mahathir sudah berulang kali berjanji akan menyerahkan jawatan Perdana Menteri apabila sudah tiba waktunya – dua atau tiga tahun selepas Pakatan Harapan (PH) berkuasa 9 Mei 2018?

Beri peluanglah kepada beliau untuk terus menjalankan tugas-tugas Perdana Menterinya. Bila sering diuar-uarkan atau diserlahkan (highlighted) `bila lagi, bila lagi’, dibimbangi wujud semacam isu ketidakstabilan pula pada negara ini dan ekonominya.

Apatah lagi diributkan dengan hutang negara yang dikatakan kian bertimbun. Pinjaman kerajaan PH pun dalam tempoh enam bulan pertama 2018 sahaja sudah cecah RM60 bilion. Jadi, kenapa sibuk-sibukkan soal peralihan kuasa?

Kedua-dua pihak, baik daripada pihak Dr Mahathir dan Anwar kena bersabar sedikit. Biar kedua-duanya selesaikan soal peralihan kepemimpinan ini. Orang luar usah masuk campur.

Jangan diragukan hubungan kedua-dua mereka. Jangan khuatir sebab Anwar pun sudah beberapa kali mengunjungi Dr Mahathir. Kita yakin Dr Mahathir cukup matang dan gentleman (budiman) berpegang pada janjinya untuk menyerahkan kuasa kepada bakal PM ke-8 itu.

Berdasarkan senario hubungan mereka kebelakangan ini tak nampak pun bermasalah.

Ada juga cakap-cakap yang sampai ke telinga penulis mengatakan Tun M tidak mahu berulang senario selepas peralihan kuasa kepada Tun Abdullah Ahmad Badawi tempoh hari.

Apabila beliau umumkan keputusan tidak terduga dek kita mahu letak jawatan PM-4 pada 22 Jun 2002 dengan tempoh penyerahan kuasa ditetapkan dalam setahun setengah sebelum Pak Lah rasmi menjadi PM-5, 31 Oktober 2003, orang kelihatan tidak peduli lagi kepada beliau. Padahal waktu beliau umumkan letak jawatan, begitu ramai pemimpin kanan partinya dan orang sekeliling sampai sebak berkerumun mendesak beliau menarik balik pengumuman letak jawatan itu.

Dan banyak ketika selepas tidak memegang tampuk kuasa, hatinya kerap `terusik dan berkecil hati’ hingga keluar masuk dan keluar lagi dari parti kerajaan. Hati seorang negarawan perlu kita jagalah.

Don’t interfere. Biar ahli politik selesaikan. Jangan ada lagi tukang-tukang adu domba. Ini tidak, sosek-sosek yang kerap sampai pada penulis adalah “Anwar itu ini, dia jumpa Zahidlah, Muhyiddin hubungi Anwar lah”. Macam-macam fi’il politikus. Tidak ada keperluan pun adu domba begini. Hanya semarakkan lagi keraguan dan syak wasangka.

Jangan lagi kita ambil peduli akan ‘kenyataan-kenyataan jalanan’ yang mana Dr Mahathir kononnya kata `no way pada Anwar’.

Sama-sama la kita bersabar menunggu akhir ceritanya, siapa PM ke-8.
-SM

Show More

Related Articles

Back to top button