Nasional

Penghantaran anggota bomba ke Australia Rabu ini ditangguh

PENGHANTARAN 40 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) ke Australia yang dijadual Rabu ini bagi membantu memadam kebakaran di negara tersebut ditangguhkan sementara.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin berkata penangguhan itu disebabkan pihak Australia meminta Malaysia supaya meneliti keperluan mereka terlebih dahulu.

Tanpa menyatakan keperluan tersebut, Zuraida berkata: “Kalau keperluan mereka kita mampu penuhi, kita akan hantar, tapi jika tidak, kita cuba juga hantar anggota sebagai tenaga untuk membantu memadam kebakaran,” katanya kepada pemberita selepas melawat Balai Bomba Pengkalan Hulu, hari ini.

Terdahulu, dalam sidang media di Kuala Sepetang, Taiping, Zuraida memaklumkan semua 40 anggota JPBM bersama 20 lagi individu daripada agensi kerajaan yang lain akan berlepas ke lokasi kebakaran di New South Wales, Rabu ini.

Menurut laporan media, sekurang-kurangnya 24 orang terbunuh dan hampir 2,000 rumah musnah serta jutaan haiwan terkorban apabila kebakaran hutan itu memusnahkan tiga negeri di Australia melibatkan kira-kira lima juta hektar tanah.

Selain itu, Zuraida menyarankan akademi bomba supaya membuat pengambilan khusus untuk wanita sebagai usaha meningkatkan penyertaan golongan hawa tersebut dalam pasukan beruniform berkenaan yang kini hanya berjumlah kira-kira 500 orang.

Dalam pada itu, Zuraida turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM2 juta kepada Majlis Daerah Pengkalan Hulu untuk pembinaan beberapa tempat makan yang bukan sahaja cantik dan canggih tetapi ceria sebagai usaha menarik lebih ramai pengunjung.

“Pengkalan Hulu ini merupakan bandar sempadan yang mana banyak unsur untuk tarik pelancong, pelanggan masuk ke Perak melaluinya,” katanya.

Terdahulu, di Kuala Sepetang, Taiping, Zuraida berkata kerja-kerja menaik taraf Jeti Kuala Sepetang melibatkan peruntukan RM2 juta supaya lebih moden dan selesa termasuk menyediakan kemudahan tandas serta tempat letak kereta lebih teratur, disasarkan siap hujung tahun ini.

Selain itu, beliau berkata pihaknya bercadang untuk mewujudkan tarikan baharu seperti floating market atau pasar terapung iaitu bot-bot yang menjual makanan dan produk hasil sungai di persisiran sungai hutan paya laut di jeti berkenaan.

“Kami akan memulakan floating market dalam skala kecil dahulu untuk pelancong yang menaiki bot mengelilingi kawasan sungai ini selama kira-kira sejam untuk singgah dan menikmati pemandangan,” katanya.

Katanya pelancong juga tidak dibenarkan membawa makanan sendiri untuk burung helang di kawasan sungai tetapi sebaliknya hanya menggunakan makanan helang yang disediakan oleh pemandu pelancong bagi mengelakkan pembiakan helang terbantut.

Pada majlis itu, Zuraida turut menyumbangkan 10 mikrofon kepada pemandu pelancong di jeti berkenaan supaya memudahkan mereka menyampaikan taklimat dan penerangan mengenai sejarah dan tempat menarik kepada penumpang bot ketika meronda di sekeliling kawasan sungai itu.– BERNAMA

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button