Penghadang kayu reput sekolah di Baram akan diganti segera
Menteri Pendidikan, Datuk Dr. Mohd. Radzi bin Md. Jidin berkata, kayu penghadang yang reput di beranda SK Long Bemang, Baram, Sarawak akan diganti segera.
Menurut beliau, dua hari lalu pihaknya menerima laporan berkaitan murid Tahun 2 di SK Long Bemang, Baram, yang terjatuh daripada beranda sekolah kerana kayu penghadang telah reput.
“Saya terus meminta semakan dibuat untuk melihat sama ada sekolah ini berada dalam senarai projek pembangunan atau penyelenggaraan bangunan daif di sekolah KPM. Saya dimaklumkan sekolah ini memang telah ada dalam senarai tersebut.
“Kita akan usahakan sebaik mungkin supaya proses tender bagi pembinaan bangunan dan menaik taraf fasiliti SK Long Bemang akan dibuat selewat-lewatnya bulan Februari ini,” katanya dalam hantaran ke Facebook miliknya.
Sebagai tindakan segera, kata beliau, JPN Sarawak telah menyediakan sejumlah peruntukan bagi pelaksanaan kerja-kerja menggantikan kayu penghadang koridor dan pembaikan kecil lain di sekolah tersebut yang kini giat dilaksanakan dan sebahagiannya telah siap.
KPM, jelas beliau akan memastikan pelaksanaan projek penggantian ini berjalan lancar dan proses pelantikan kontraktor selepas tender dibuka kelak dimuktamadkan secepat mungkin bagi membolehkan fasiliti yang lebih kondusif dan selamat untuk warga sekolah dapat disediakan.
“Saya doakan agar adik Aliccia terus diberikan kesihatan yang baik dan dapat kembali ke sekolah,” katanya.
KPM ujar beliau, sentiasa berusaha untuk menyediakan infrastruktur sekolah yang selesa dan selamat demi kelangsungan pendidikan anak-anak generasi pewaris negara.