Penduduk Taman Rambai Jaya resah banjir kilat terus berlaku
KEJADIAN banjir kilat seperti tiada jalan penyelesaian yang dihadapi lebih 200 penduduk di
Jalan Kejora 1, 2 dan 3 Taman Rambai Jaya dekat sini. Biarpun ada rumah pam namun kejadian banjir kilat akibat limpahan dari sungai Air Salak tetap berlaku.
Hujan lebat yang melanda Melaka sejak pukul 3.30 pagi tadi menyebabkan rumah penduduk di Jalan Kejora itu seperti lazim dinaiki air melebihi paras buku lali.
Banjir kilat ini adalah kali ketiga berturut-turut ditempuh penduduk sepanjang bulan ini.
Rata-rata penduduk mengharapkan kerajaan negeri untuk membantu menyelesaikan masalah yang mereka hadapi sejak mula mendiami rumah tersebut pada 2013.
Seorang penduduk Mohd. Darul Naim, 39, seorang juruteknik sebuah kilang berkata, kerajaan negeri serta pihak terlibat seharusnya memikirkan langkah terbaik bagi mengatasi masalah banjir kilat yang kerap berlaku di situ.
Menurutnya, biarpun rumah pam telah dibina berhampiran sungai Air Salak tetapi ia sebenarnya bukan jalan penyelesaian mengatasi kemelut yang melanda penduduk di tiga lokasi tersebut.
“Hari ini rumah saya dilanda banjir kilat dan dalam bulan ini sahaja sudah tiga kali musibah ini berlaku. Sampai bila saya perlu berdepan masalah ini?
“Mei tahun lalu, adalah banjir paling teruk saya alami. Air masuk ke dalam rumah dan habis segala perabut dan barangan elektrik rosak dan saya menanggung kerugian sebanyak RM15,000,” ujarnya.
Tinjauan mendapati hanya penduduk di Jalan Kejora 1, 2 dan 3 masih digenangi air iaitu fenomena air termenung ketika beberapa kawasan di Taman Rambai Jaya air telah mula surut.
Bagi Zamry Husin, 42, pula berkata, kerajaan negeri perlu membantu untuk menyelesaikan kekusutan yang membelenggu penduduk di sini kerana kejadian banjir kilat boleh dikatakan berlaku setiap kali hujan lebat melanda.
“Saya dah penat berdepan banjir kilat kerana bulan ini sahaja sudah tiga kali rumah dinaiki air. Ada pam air pun tak juga selesai masalah.
“Sewajarnya satu kajian dibuat seperti membesar atau mendalamkan sungai Air Salak bagi mengurangkan kejadian banjir kilat,” ujarnya.
Katanya, dia tidak mahu musibah paling teruk berlaku tahun Mei lalu melanda kediamannya berulang yang menyebabkan dia mengalami kerugian hampir RM10,000.
Seorang pekerja Petronas Penapisan Melaka, Mohd. Suhaimi Samsudin, 39, berkata, pihak berkuasa khususnya kerajaan negeri diminta untuk membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi penduduk sejak menduduki rumah tersebut pada 2013.
“Setiap kali hujan, saya tidur tak lena hingga pagi bimbang air naik mendadak. Saya dah sering dengan musibah Mei tahun lalu, air naik sehingga paras dada. Habis semua barang-barang rumah rosak,” ujarnya.
Katanya, rumah pam yang dibina tidak menyelesaikan masalah tersebut dan sampai bila dia harus berdepan banjir kilat setiap kali hujan lebat berlaku. – SM Melaka