Atomy Malaysia ringankan beban mangsa banjir di Kelantan
NEGARA kini dilanda bencana banjir besar, dan Kelantan adalah antara negeri yang paling teruk terjejas. Ribuan mangsa menghadapi kesukaran mendapatkan makanan, keperluan harian, dan bantuan lain. Menyedari keperitan yang dialami, Atomy Malaysia, selaras dengan budaya perkongsiannya, telah tampil menunjukkan komitmen kukuh kepada masyarakat dengan menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir di negeri ini.
Sumbangan berupa produk keperluan asas yang bernilai RM70,000 telah disalurkan kepada lebih 170 penerima di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Meranti, salah satu kawasan yang paling terkesan akibat banjir. Para penerima terdiri daripada pelbagai bangsa, kaum, dan agama, dengan kebanyakannya berasal daripada golongan B40.
Majlis penyerahan bantuan diadakan pada 11 Disember 2024 di perkarangan Dewan Serbaguna DUN Meranti. Bantuan ini telah disampaikan oleh Pengarah Atomy Malaysia, Kea Wong, bersama Puan Rosliza Omar dari Atomy Kota Bharu Anggun Centre. Turut hadir memeriahkan majlis ialah Haizam Yahya, Mohd Tareeq Abd Aziz, serta beberapa sukarelawan Atomy Malaysia.
Penduduk yang terjejas menyambut bantuan ini dengan penuh rasa syukur. Diharapkan, sumbangan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban yang ditanggung oleh mangsa banjir dan membantu mereka untuk bangkit semula daripada bencana yang melanda.
Atomy Malaysia komited untuk terus melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) demi kesejahteraan masyarakat, khususnya ketika menghadapi situasi mencabar seperti bencana alam. Pihak syarikat turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan inisiatif ini dan berharap usaha murni sebegini dapat diteruskan pada masa hadapan.