Rencah Hidup

Penduduk gali tiga perigi dapatkan bekalan air

TIGA buah perigi digali sebagai alternatif bagi mendapatkan bekalan air ekoran gangguan yang dihadapi penduduk di Lembah Klang sejak Jumaat.

Inisiatif tersebut diambil sendiri penduduk di Kampung Batu 7, Jalan Kebun di Shah Alam, Selangor ekoran gangguan tidak berjadual yang dialami mereka.

Ia merupakan tambahan daripada kira-kira enam perigi sedia ada bagi membantu penduduk di sana mendapatkan sumber air bersih.

Lebih menarik, pemilik tanah tempat perigi tersebut membenarkan kawasannya digali tanpa sebarang bayaran dikenakan.

Malah, mereka turut membenarkan penduduk daripada mana-mana sekalipun untuk datang bagi mendapatkan bekalan air.

“Setakat sampai hari ini tiga buah perigi baharu digali dan sambutannya amat menggalakkan.

“Aktiviti menggali perigi ini dilakukan secara gotong-royong yang dilakukan secara drastik.

“Dari segi dana pun kita atas dana sumbangan bersama yang dikumpulkan oleh penduduk. Kemudian, kita terus buah on-the-spot.”

Demikian kata Yang Dipertua Persatuan Anak Jati Jalan Kebun (Anak Jati), Yazid Muhidin ketika ditemui Suara Merdeka hari ini.

Terdahulu Suara Merdeka membuat tinjauan di sana bagi menyaksikan kemudahan perigi yang disediakan oleh jawatankuasa Anak Jati bagi kemudahan penduduk.

Terdapat tiga buah perigi digali bagu kemudahan awam seperti di Lorong Bakri berhadapan Sekolah Rendah Agama Jalan Kebun dan Lorong Haji Kassim.

Inisiatif tersebut diambil mereka selepas syarikat Air Selangor Sdn Bhd memaklumkan berlaku gangguan air tidak berjadual akibat pencemaran pada sumber air mentah.

Susulan itu, empat Loji Rawatan Air (LRA) di Sungai Besar Fasa 1, 2 dan 3 serta Rantau Panjang dihentikan operasinya menyebabkan lebih 1,292 kawasan terputus bekalan air.

Gangguan tersebut dikatakan berlaku sehingga tiga ke empat hari.

Namun sejak semalam Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari memaklumkan LRA sudah kembali beroperasi dan bekalan air akan pulih secara berperingkat.

YAZID MUHIDIN

Dalam ada itu, Yazid turut memaklumkan kemudahan perigi di kawasan Jalan Kebun sudah pun ada.

Menurutnya, ada perigi yang digunakan penduduk disini lebih 60 tahun sebagai sumber bekalan air mereka.

“Sebelum ini memang perigi yang sudah lama digunakan sebelum wujud kemudahan air seperti sekarang.

“Semua penduduk di sini akan mengambil air dan ada beberapa tempat lagi yang penduduknya masih menggunakan air perigi.

“Dalam tempoh beberapa tak ada air ini, memang kawasan ini jadi macam pesta.

“Memang jadi satu alternatif paling baik sekali untuk menampung keperluan penduduk dalam situasi ini,” katanya.

Tambah beliau lagi, kewujudan perigi di sana adalah signifikan kerana penduduk di sana mengakui kerap mengalami gangguan bekalan air.

Justeru, beliau turut mencadangkan kepada penduduk setempat yang tinggal dekat kawasan berhampiran bukit supaya menggali perigi.

“Memandangkan di Selangor khususnya di Shah Alam ini terlalu kerap belaku gangguan bekalan air.

“Bila berlaku bukannya dalam masa sehari tetapi sampai ke empat hingga lima hari.

“Pernah juga sampai lebih seminggu. Apabila ada perigi, saya akan cadangkan kepada penduduk yang tinggal di kawasan-kawasan tinggi iaitu tanah bukit kita gali perigi,” gesanya.

Malah, Yazid turut mencadangkan kepada penduduk supaya digali satu perigi bagi setiap lorong di Jalan Kebun untuk kemudahan penduduk dan juga orang ramai yang ingin mendapatkan bekalan air.

“Kami juga dalam perancangan untuk menggali perigi di setiap lorong-lorong kawasan kariah di sini.

“Jadi, sesuatu kawasan itu tidak terlalu menjadi tumpuan orang sehingga menyebabkan bekalan tidak mencukupi,” ujarnya. – SM

 

(Visited 857 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan

Wartawan, petugas media Suara Merdeka

Related Articles

Back to top button