Penduduk DUN Bukit Pasir mahu Perikatan Nasional menang
PAGOH 6 Mac – Penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Pasir lebih rela memilih Perikatan Nasional (PN) berbanding Barisan Nasional (BN).
Mereka menyifatkan kalangan pemimpin BN banyak terbabit dengan pelbagai isu terutama rasuah jika hendak dibandingkan dengan pemimpin daripada PN.
Mereka mahu calon-calon PN menang dan memerintah Johor serta tidak mahu BN kembali memerintah.
Seorang penduduk, Ishak Sitam, 62, seorang peniaga warung makanan di Pekan Bukit Pasir berkata, kepimpinan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin masih disanjung penduduk di Bukit Pasir.
“Kami sayangkan Muhyiddin dan kami mahu calon PN iaitu Iqbal Razak menang di Bukit Pasir.
“Aura dan pengaruh Muhyiddin terus mendapat tempat dalam kalangan penduduk di sini dan kami menolak calon BN,” ujarnya ditemui hari ini.
Ishak berkata antara salah satu faktor dia menolak BN kerana masalah dalaman UMNO yang disifatkan gila kuasa hingga sanggup membubarkan DUN demi mahu berkuasa.
Bagi seorang lagi penduduk di Kampung Parit Kadir, Midon Siam, 59, berkata, dia tidak sama sekali akan memilih calon BN sebaliknya lebih rela memilih calon PN.
Menurutnya, kalau pilih BN keadaan tidak akan berubah dan adalah lebih baik PN menang untuk memerintah Johor.
“Pergolakan politik dalam UMNO sangat teruk dan kerana mereka juga yang bubarkan DUN dan mengapa kita nak pilih mereka.
“Ramai pemimpin UMNO ni gila kuasa dan biarlah kali ini PN pula diberi mandat menang dalam PRN Johor,” katanya lagi.
Midon yakin Iqbal yang menjadi pertaruhan PN di Bukit Pasir bakal menang serta pertahan kemenangan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).
Saingan enam penjuru di Bukit Pasir selain Iqbal ialah Mohd. Akhiri Mahmood (Pejuang), Mohamad Fazli Mohamad Saleh (BN), Elia Nadira (PH), Johar Siraj (Bebas) dan Kapt (B) Najib Lep (Bebas).