BeritaPendidikan

Raja Muda Perlis berkenan berangkat sempurnakan konvokesyen UniMAP

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail merangkap Tuanku Canselor berkenan berangkat menyempurnakan Penganugerahan kepada seramai 298 graduan dalam Sidang Ke-3 Istiadat Konvokesyen 15 Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di Dewan Ilmu, Kampus Alam UniMAP Pauh Putra pada pagi tadi.

Ia melibatkan penerima Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan (Kepujian) bagi jurusan Kejuruteraan Bahan, Kejuruteraan Metalurgi, Kejuruteraan Polimer, Kejuruteraan Bioproses dan Kejuruteraan Biosistem serta Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Kimia (Kepujian) dalam jurusan Teknologi Makanan dan juga Proses Kimia.

Dalam titah ucapan baginda, Tuanku Raja Muda menasihatkan semua para graduan supaya sentiasa cuba meningkatkan kemahiran digital masing-masing. Ini adalah kerana pengendalian tugasan, pertemuan, perbincangan dan mesyuarat secara dalam talian bukan sahaja akan mengurangkan kos, malah akan menjimatkan masa.

Pada kesempatan yang sama Tuanku Syed Faizuddin Putra menitahkan ucapan tahniah kepada semua graduan kerana berjaya menamatkan pengajian di UniMAP. Baginda turut mengucapkan tahniah kepada semua ibu bapa, dan keluarga yang dikasihi yang telah memberi sepenuh dorongan dan perhatian kepada semua graduan dalam memastikan kejayaan mereka.

Sementara itu, Naib Canselor, Prof Ts Dr Zaliman Sauli menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada kelompok pensyarah yang komited untuk mempersiapkan para graduan semua supaya menjadi manusia berketrampilan, berperibadi unggul serta menjadi pewaris kepimpinan negara. Beliau juga mengucapkan terima kasih atas segala pengorbanan dan penat lalah para pensyarah dalam mendidik anak bangsa.

Beliau juga memuji para ibu bapa yang menghantar anak-anak ke UniMAP suatu ketika dahulu bukanlah satu kesilapan. Sebenarnya, ramai pensyarah dan staf UniMAP juga turut menaruh kepercayaan yang sama terhadap universiti in dengan menghantar anak-anak mereka belajar di sini. ‘Jadi kepada para ibu bapa, usahlah takut, usahlah khuatir, usahlah serik menghantar anak-anak anda ke sini, insyaAllah, akan kami bentuk sehingga berjaya dan membanggakan anda di masa hadapan’ jelas Zaliman.

(Visited 358 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button