Nasional

Penduduk bantah projek kolam udang di hutan kayu bakau Kuala Bagan Tiang

 

 

PENDUDUK Kuala Bagan Tiang, Parit Buntar, Perak membantah projek kolam udang di kawasan hutan kayu bakau.

Projek seluas 47 ekar itu didakwa telah diluluskan oleh Pembangunan Pertanian Negeri Perak (SADC) kepada Syarikat Makmur Cemerlang Sdn Bhd .

Ahli Parlimen Parit Buntar Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, apabila projek kolam udang itu diluluskan ia akan menjejaskan pendapatan nelayan di kawasan itu yang sudahpun tertekan dengan kesan covid 19.

“Sebelumnya saya bersama penduduk sekitar telah membuat bantahan kawasan hutan kayu bakau seluas 200 ekar di Sungai Betul bersebelahan untuk dibangunkan.

“Kawasan yang diluluskan tersebut pernah diminta oleh penduduk tempatan untuk projek perumahan bagi generasi nelayan disitu untuk kekal meneruskan kehidupan nelayan mereka. Mereka juga mencari sumber rezeki di hutan kayu bakau sekitar,” kata Mujahid.

Menurutnya, kepentingan penduduk tempatan harus diutamakan dengan mengekalkan kehidupan tradisi generasi nelayan.

Mereka turut bimbang sekiranya projek berkenaan ditemuskan akan membimbulkan isu keselamatan terhadap penduduk kampung berdekatan yang akan terdedah kepada bahaya ribut dan tsunami apabila hutan kayu bakau dibangunkan untuk projek akuakultur.

Mujahid berkata, projek sedia ada di sekitar Sungai Kota telahpun dibantah oleh penduduk kampung sebelum ini tetapi tidak diendahkan oleh kerajaan negeri.

Katanya, tanpa hutan kayu bakau orang kampung terdedah kepada air pasang yang melimpahi kawasan perumahan berdekatan.

“Sejak 2018 , saya telah melancarkan program tanam semula kayu bakau di kawasan Kuala Bagan Tiang bersama penduduk dan NGO Alam Sekitar untuk menyedarkan kepada masyarakat tanggungjawab memelihara hutan kayu bakau.

“Sebagai Ahli Parlimen Parit Buntar , saya bersama penduduk Kuala Bagan Tiang menentang keras projek yang menjejaskan alam sekitar dengan terhakisnya hutan kayu bakau yang sudahpun terancam,” katanya.

Serentak itu beliau menggesa Menteri Besar Perak Datuk Saarani Mohamad supaya campur tangan bersesuaian dengan Dasar Perak Lestari dan mendahulukan suara rakyat khususnya para nelayan supaya kehidupan generasi mereka dapat dilangsungkan.-SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button