Nasional

Penduduk Aman Jaya, Kedah dikenakan PKPDP

PENDUDUK di Aman Jaya, Kedah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan secara Pentadbiran (PKPDP) berikutan peningkatan kes Covid-19 di kawasan terbabit.

PKPDP tersebut berkuatkuasa pukul 12.01 malam ini sehingga satu tempoh yang akan dimaklumkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan melibatkan tiga zon iaitu Kenanga, Mawar dan Melur.

Menurut Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, PKPD secara Pentadbiran itu melibatkan 22,360 isi rumah.

Justeru, penduduk terlibat tidak dibenarkan untuk keluar dari zon masing-masing manakala orang luar tidak dibenarkan untuk memasuki zon terlibat.

Menurutnya, Polis Diraja Malaysia bersama Angkatan Tentera Malaysia akan melaksanakan sekatan jalan raya dan kawalan di jalan keluar masuk zon yang terlibat.

“Individu yang perlu keluar untuk bekerja tidak dibenarkan untuk keluar dari kawasan sepanjang tempoh PKPD secara Pentadbiran.

“Majikan mereka diminta untuk mengambil maklum akan perintah ini dan membenarkan mereka yang terlibat untuk bekerja dari rumah,” kata Ismail Sabri.

Tempat awam seperti masjid dan rumah ibadat serta sekolah dan taska diarahkan tutup sepanjang tempoh PKPD secara Pentadbiran.

Hanya premis perniagaan yang menyediakan perkhidmatan perlu sahaja dibenarkan beroperasi seperti premis yang menyediakan perkhidmatan makanan seperti kedai makan, kedai runcit dan warung serta stesen minyak, kedai runcit dan farmasi, klinik serta hospital sahaja.

Kata beliau, premis perniagaan lain dan kilang adalah dilarang untuk beroperasi.

Restoran, kedai makan hanya boleh menggunakan kaedah take away sahaja dan hanya boleh beroperasi dari jam 8 pagi- 8 malam.

Klinik dan hospital dibenarkan beroperasi 24 jam, manakala waktu operasi farmasi dan kedai menjual ubat-ubatan dibenarkan sehingga 8.00 malam sahaja.

Stesen minyak dan kedai runcit boleh beroperasi dari jam 8 pagi- 8 malam sahaja.

“Operasi pasar malam dan pasar tani juga adalah tidak dibenarkan, manakala hanya operasi pasar harian dibenarkan dari jam 6 pagi hingga 2 petang sahaja.

“Hanya ketua keluarga atau seorang dari sebuah rumah sahaja dibenarkan untuk keluar bagi tujuan pembelian barang makan atau keperluan keluarga,” kata Ismail Sabri.

Bagi kes kecemasan seperti sakit dan kematian, mereka dibenarkan untuk keluar zon tetapi perlu mengemukakan permohonan pergerakan kepada pihak berkuasa terlebih dahulu.-SM

(Visited 214 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button