Pendidikan

Pendidikan membentuk pola pemikiran anak-anak – Pemangku Raja Perlis

Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, ‘Pendidikan memainkan peranan yang penting dalam meningkatkan pembacaan dan literasi di kalangan kanak-kanak dan membangunkan norma dan pemikiran bagi membentuk minda golongan muda’.

Baginda bertitah, ‘Kita sering kali menyatakan bahawa kanak-kanak adalah masa depan negara, oleh itu semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing dan bertanggungjawab untuk membentuk anak-anak ini bermula sekarang’.

“Pemimpin masa depan kelak ini perlu mendapat pendedahan dan dilengkapi dengan ilmu untuk memacu negara ini pada suatu hari nanti”, titah Baginda lagi.

Demikian titah Tuanku Syed Faizuddin Putra ketika berkenan berangkat menyempurnakan pelancaran program‘Jom Kita Bincang’ sempena
Majlis Syarahan Umum oleh Duta Besar Sweden ke Malaysia, TYT Dr. Joachim Bergstrom yang diadakan di Auditorium Perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra, Kampus Alam Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Pauh Putra.

Keberangkatan tiba Baginda disambut oleh Naib Canselor UniMAP, Prof. Datuk Ts. Dr. Zaliman Sauli dan Duta Besar Sweden ke Malaysia, TYT HE Dr. Joachim Bergstrom dan Pegawai Politik Kedutaan Sweden, Lova Von Beckerath.

Majlis syarahan umum ini telah dianjurkan oleh UniMAP dengan kerjasama Kedutaan Sweden di Malaysia dan Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis.

Program ‘Jom Kita Bincang’ merupakan inisiatif Duta Sweden di Malaysia Dr. Joachim Bergstrom yang membincangkan isu kemampanan, kesihatan dan sosial menerusi kesusasteraan kanak-kanak.

Tuanku Canselor UniMAP itu menzahirkan rasa suka cita atas penganjuran program seperti ini di Perlis yang menggalakkan komunikasi di kalangan orang dewasa dan kanak-kanak bagi membendung masalah minat membaca di kalangan kanak-kanak dan belia yang semakin berkurangan.

Program ini berbentuk forum dan berteraskan tanggungjawab untuk memelihara dan menyampaikan ilmu serta memberi inspirasi kepada golongan muda untuk membaca.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button