BeritaNasionalNegeriPendidikan

Pendidikan masa kini ekosistem antara Jabatan Pendidikan dan ‘support system’ – Raja Muda

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, pendidikan masa kini adalah ekosistem yang saling berhubung kait di mana ia bukan hanya dilaksanakan oleh Jabatan Pendidikan tetapi perlu komitmen semua pihak khususnya organisasi yang boleh berfungsi sebagai ‘support system’.

Baginda bertitah, wujudnya ‘support system’ ini akan memberi lebih ruang untuk membangunkan guru mempunyai peribadi baik sekaligus akan mampu membangunkan pelajar bersikap positif.

Titah Baginda, jika wujud ekosistem sebegini maka objektif Perlis untuk menghasilkan rakyat yang bermentaliti kelas pertama dalam segala tindakan akan terlaksana.

Seterusnya titah Baginda, ekosistem yang mampan ini akan menghasilkan rakyat yang berupaya membangunkan negeri dan negara yang berdaya saing.

“Ekosistem pendidikan yang berjaya juga tidak seharusnya hanya bertumpu kepada empat sudut bilik darjah,” titah Baginda.


Demikian titah Baginda ketika berkenan berangkat merasmikan Majlis Penutupan Sambutan Bulan Kebangsaan Peringkat Jabatan Pendidikan Negeri Perlis Tahun 2022 yang diadakan di Pusat Kokurikulum Kem Dato Ariffin Mohd Nam Jabatan Pendidikan Negeri Perlis, Tasoh malam tadi.

Keberangkatan tiba Baginda ke program berslogankan “#09Educators, ThinkBig 2022” disambut oleh Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Perlis, Naharudeen Othman.

Turut hadir Pengarah Urusan IX Ventura Tech Sdn Bhd, Iliyas Jamil yang menaja pertandingan Gamified.

Tuanku Syed Faizuddin bertitah, sistem pembelajaran yang berkonsepkan ‘Environment Based Learning’ yakni pelajar boleh belajar di mana-mana sahaja dan menggunakan pelbagai bahan yang mudah diakses wajar dilaksanakan apatah lagi sistem pendidikan kita juga kini telah beralih arah daripada ‘Exam Based Oriented’ kepada ‘Learning Based Oriented’.

Justeru Tuanku Syed Faizuddin dalam titahnya percaya lima kategori pertandingan berorientasikan webinar Program Titian Kasih anjuran pihak JPN bersama-sama Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis yang dipelopori pada kali ini wajar dilaksanakan untuk membina ekosistem yang lebih menyeluruh. – SM

(Visited 32 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button