Politik

Pendekatan Pas terhadap Rohingya berbeza dengan PH – Abdul Hadi

Pas akan mengambil perdekatan berbeza berbanding Pakatan Harapan berkaitan isu pelarian Rohingya.

Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, Malaysia wajib membantu perjuangan kaum tersebut mendapatkan semula hak tanah air mereka di Myanmar.

Menurutnya, Malaysia sepatutnya tidak memudahkan jalan supaya kaum tersebut menyerah kalah terhadap kezaliman dengan menyerahkan tanah air mereka secara percuma di negara itu.

“Namun, PAS berbeza dengan kalangan daripada Pakatan Harapan (PH) yang lebih berkiblatkan kepada agenda bersama Aung San Suu Kyi, tokoh liberal sanjungan PH yang tidak mempedulikan orang Islam ketika berkuasa dalam kerajaan.

“Bahkan ada kalangan pihak tertentu yang turut menyertai perbicaraan bagi membela Myanmar di Mahkamah Antarabangsa.

“Kini berlaku rampasan kuasa yang merupakan suatu percaturan politik antara Amerika dan China. Tentera dibayangi oleh kuasa proksinya, Aung San Suu Kyi juga mempunyai proksi sendiri. Maka wajar kerajaan Malaysia mempunyai pertimbangan kemanusiaan dengan mengambil kira percaturan politik yang memerlukan sikap berhati-hati,” katanya.

Beliau menegaskan pembelaan terhadap Rohingya tidak sepatutnya semata-mata hanya bermotifkan politik pilihan raya.

Isu pelarian Rohingya bukan sekadar dijadikan bahan untuk meraih undi tanpa melihat kedudukan Rohingya yang wajib diberikan hak mempunyai tanah air sendiri.

“Masalahnya mengapa hanya kaum yang beragama Islam dipaksa menjadi pelarian, sebaliknya etnik bukan Islam yang lain pula tidak begitu.

“PAS yang mendukung Islam tidak boleh terperangkap dengan agenda anti Islam yang mengambil kesempatan daripada kumpulan bukan Islam yang lain atau kumpulan Islam yang buta kefahaman politik dalam mempertahankan Islam.

“Sehingga tanpa disedari atau menyedari telah diperalatkan oleh agenda kumpulan anti Islam yang bertopengkan liberalisme,” tegas beliau.

Malaysia ketika ini dalam proses penghantaran 1,200 pendatang tanpa izin dari Myanmar ke negara asal mereka.

Empat hari lalu media melaporkan tiga kapal membawa bendera Myanmar dilaporkan tiba di Lumut untuk mengambil kumpulan pendatang tersebut.

Kedutaan Myanmar mengesahkan pihaknya akan membawa balik 1,200 tahanan itu dengan berkata ia mengutamakan pemulangan rakyat yang terkandas disebabkan pandemik Covid-19

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam mengarahkan supaya rancangan penghantaran pulang 1,200 tahanan Myanmar ke negara asal, ditangguhkan sementara.

Keputusan itu dibuat selepas mahkamah membenarkan permohonan oleh dua pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Amnesty International dan Asylum Access berhubung perkara itu.

“Ia bagi membolehkan mahkamah mendengar permohonan kedua-dua NGO berkenaan untuk menghalang usaha penghantaran pulang berkenaan,” kata peguam mewakili NGO berkenaan, New Sin Yew, kepada media.

Keadaan politik di Myanmar ketika ini tidak stabil selepas berlaku rampasan kuasa oleh pihak tentera yang menafikan kemenangan parti pimpinan Aung San Suu Kyi dalam pilihan raya baru-baru ini.-SM

 

(Visited 580 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button