Politik

Buku teks Sejarah Tingkatan 4 agung komunis, fitnah Melayu – Asyraf Wajdi

PERGERAKAN Pemuda UMNO mendakwa sukatan buku teks Sejarah Tingkatan 4 mengandungi fakta yang mengagungkan komunis sebagai pejuang kemerdekaan.

Ketuanya Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, buku teks tersebut juga terdapat elemen memfitnah orang Melayu sebagai barua atau orang suruhan pihak penjajah Jepun untuk menentang komunis dan Tentera Anti Jepun Tanah Melayu (MPAJA).

“Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia memandang serius unsur-unsur fakta yang dimanipulasikan dengan mengagung-agungkan pihak komunis sebagai pejuang kemerdekaan dalam silibus dan sukatan buku teks sejarah tingkatan 4 KSSM.

“Perkara ini semacam satu usaha terancang dan sengaja dilakukan ketika 22 bulan Pakatan Harapan yang memerintah bagi menanamkan benih ideologi ‘Malaysian Malaysia’ dan secara halus menyuci pemikiran pelajar bahawa fahaman sosialis dan komunis tidaklah buruk malah diangkat sebagai antara ideologi yang memperjuangkan kemerdekaan,” kata Asyraf Wajdi.

Pada muka surat 75 buku teks tersebut menyatakan terdapat gerila Cina yang dikuasai oleh nasionalis daripada Parti Kuomintang (KMT) menentang tentera Jepun di utara Tanah Melayu terutamanya di Hulu Perak dan Kelantan.

Mereka telah menubuhkan Overseas Chinese Anti-Japanese Army (OCAJA) yang dikenali sebagai Tentera Bintang Satu. Gerila KMT bersetuju bekerja sama dengan MPAJA atau Parti Komunis Malaya menentang Jepun.

Pada muka surat sama, buku teks tersebut menyatakan MPAJA merupakan gerakan anti-Jepun yang terbesar di Tanah Melayu.

Gerakan MPAJA yang semakin meningkat mendorong pentadbiran tentera Jepun menggunakan pasukan tentera atau polis yang dianggotai orang Melayu untuk menentang kumpulan itu.

Buku teks itu menyatakan, tindakan tentera Jepun tersebut telah menimbulkan ketegangan kaum kemudiannya.

Pada muka 129 buka teks itu menyatakan golongan nasionalis Melayu radikal melaungkan perjuangan kemerdekaan sejak penghujung tahun 1930-an.

Mereka mempunyai matlamat perjuangan iaitu membebaskan tanah air daripada penjajah, menyatukan seluruh Yanah Melayi dan enggan berkompromo dengan penjajah untuk mencapai kemerdekaan.

Menurut buku itu, istilah radikal digunakan oleh British kepada golongan tersebut kerana keberanian mereka menentang British secara terbuka dan membangkitkan perasaan anti-British dalam penulisan.

“Secara halus dan tersirat, Kerajaan Pakatan Harapan terdahulu telah mengangkat dan menjulang anggota komunis dan MPAJA sebagai perwira dan pejuang kemerdekaan yang wajar diberikan pengiktirafan.

“Justeru, Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia mendesak agar Kementerian Pendidikan segera menarik balik buku-buku sejarah Tingkatan 4 dan memperbetulkan kembali fakta-fakta yang cuba dimanipulasi bagi merubah sejarah negara,” kata Asyraf Wajdi.

Sementara itu Asyraf Wajdi berkata, Menteri Kanan UMNO telah maklum mengenai perkara itu dan akan membawanya dalam Mesyuarat Kabinet agar diambil tindakan segera oleh Menteri Pendidikan.-SM

(Visited 4,025 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button